Monday, August 8, 2022

Wahab Dollah kembali ke DUN Daro, Dr Juanda ke Jemoreng?

Secara Rawak

SIBU: Kerusi Daro, Jemoreng, Semop dan Belawai,  kini menjadi tumpuan, dengan spekulasi bertiup kencang di kawasan majoriti Melanau itu bahawa Datuk Wahab Dollah, bakal kembali ke Sarawak untuk mengisi kekosongan di salah satu kerusi berkenaan.

Wahab Dolah
Wahab Dolah

Wahab Dolah, Ahli Parlimen Igan yang bergensi dan berpengaruh itu menjadi ‘warlord’ di empat kawasan terbabit yang telah diwakilinya lebih 30 tahun, mengintai peluang untuk mengisi salah satu daripada kerusi berkenaan. Sementara kerusi Belawai hampir pasti diisi oleh penyandang, Datuk Len Talif Salleh, dan kerusi Semop bakal dipertahankan Abdullah Saidol.

Pada 2011, Abdullah menumpaskan Abdul Wahab Abdullah (PKR) dan Kiprawi Suhaili (Bebas) dengan majoriti 4,814 undi. Jumlah pengundi berdaftar ialah 8,891, dengan peratusan yang turun mengundi sebanyak 66.6 peratus.

dr juanda jaya
Dr juanda jaya

Kerusi Jemoreng, disandang Abu Seman Jahwie, dikatakan bakal diwakili  Datuk Dr Juanda Jaya, menurut sumber akar umbi.  Kerusi yang menjadi tanda tanya ialah Daro yang kini disandang oleh Murni Suhaili dengan Wahab Dollah atau seorang daripada saudara-mara beliau, Ahmad Joni dikatakan berminat mencuba nasib.

Populariti Murni di kawasan tengah  dan perkampungan pesisiran Melanau itu dikatakan tidak begitu menyerlah, dan terdapat ura-ura beliau bakal diganti meskipun pihak tertinggi parti difahamkan masih lagi membuat perhitungan serius tentang cadangan berkenaan. Ketika kedudukan Murni dianggap agak goyah, satu nama yang mencanak dan kini berada di papan atas dari segi populariti ialah Shafiee Ahmad, seorang anak tempatan, kini pengarah pembangunan usahawan di SEDC.

shafiee
Shafiee Ahmad

Menurut jejakan di peringkat bawah, Shafiee begitu terkenal, dan diterima baik. Nama beliau bukan sahaja dikatakan kini berada di radar politik Ketua Menteri, malah sudah sampai ke pengetahuan Perdana Menteri. Shafiee, seorang pegawai yang berdedikasi, dan cemerlang kerana pemikirannya yang tajam dan ke hadapan, menurut mereka yang mengenali beliau.

Dalam pilihan raya lalu, Murni meraih 4,814 undi (84.4 peratus), menewaskan Jalaludin Ibrahim (PKR) yang mendapat 475 undi (9.0 peratus), dan Mohamad Noh Bakri, calon Bebas yang memperoleh hanya 129 undi (2.5 peratus). Murni mendapat majoriti 4,250 undi dengan peratusan yang turun mengundi ialah 72.1 peratus daripada 7,305 pengundi berdaftar.

Bagi kerusi Jemoreng pula, Abu Seman Jahwie yang dikenali sebagai YB poco-poco kerana kegemarannya berpoco-poco memperoleh 4,505 undi (71.6 peratus), mengalahkan dua calon Bebas, iaitu Abdul Hafiz Noh yang mendapat 1,579 undi (25.1 peratus), dan Asbor Abdullah yang hanya mendapat 77 undi (1.2 peratus). Calon Parti Pesaka Bumiputera (PBB) itu mendapat majoriti 2,926 undi dengan peratusan pengundi yang turun mengundi 72.9 peratus daripada 8,635 pengundi berdaftar.

Pada pilihan raya 2006, kerusi Mato/Daro yang ketika itu dipecah dua menjadi N37 Daro dan N38 Jemoreng. Pada ketika itu, Wahab tidak mempertahankan kerusinya.

Kejayaan terbesar Wahab bagi Taib Mahmud ialah menumbangkan musuh politiknya yang juga bapa saudaranya sendiri, Tun Abdul Rahman Yakub pada kemuncak peristiwa Ming Court, dalam pilihan raya mengejut 1987 sehingga beliau dijulang sebagai ‘giantkiller’.

Pada ketika itulah Abu Seman dan Murni memenangi kerusi berkenaan. Dalam pilihan raya Parlimen 2008, Wahab mempertahankan kerusi Igan, dan kerusi Kuala Rajang pula diberi kepada Nora, anak Rahman Yakub ketika hubungan Taib dengan bapa saudaranya dikatakan semakin mesra.

Hubungan mereka bermasalah ekoran peristiwa Ming Court apabila Abdul Rahman menentang Taib, menyaksikan kumpulan Rahman memperoleh 20 kerusi dan kumpulan diterajui Taib mendapat 28 kerusi.  

Sementara itu, ramai yang bertanya tujuan Wahab mahu kembali ke Sarawak. Wahab, seorang usahawan yang berjaya, dan sering dikaitkan kejayaannya dengan dukungan bekas Ketua Menteri  Tun Abdul Taib Mahmud, merupakan seorang ahli politik yang pintar dan mempunyai rangkaian hubungan yang hebat.

Nama Wahab pernah disebut-sebut sebagai salah seorang calon berpotensi menjadi Ketua Menteri Sarawak pada dasawarsa 1990-an, tetapi sejak berpindah ke Parlimen, namanya semakin sayup, apatah lagi, mengikut rekod rasmi Parlimen atau hansard yang diteliti  di Parlimen, beliau jarang-jarang berucap dan terbabit dalam perbahasan.

Satu daripada perbahasan yang mungkin diingati ahli parlimen lain ialah ketika Wahab mempertahankan Taib Mahmud ketika diserang pembangkang.

Salah satu kriteria kehebatan seorang ahli parlimen diukur dari segi kepetahan dan kepintarannya berucap dan berdebat mengenai pelbagai isu nasional, terutama berkaitan rang undang-undang dan akta yang dibahaskan. Itulah sebabnya mereka dipanggil sebagai lawmaker dalam bahasa Inggeris.

Menurut sumber yang mengikuti dengan dekat perkembangan politik di empat kerusi terbabit, Wahab mempunyai pengaruh yang tersendiri di kawasan itu, dan tidak boleh diperkecil, terutama bagi mereka yang mahu naik di tangga politik.

daro map-0001

Difahamkan beberapa malam lalu, beliau dan bakal calon di salah satu kerusi telah bersua muka dengan Ketua Menteri di kediaman Tan Sri Adenan Satem di Santubong. Namun sehingga berita ini ditulis, tidak pula diketahui isu yang dibangkitkan. Wahab dan calon berkenaan masih gagal dihubungi untuk mendapat komen.

Namun, mereka yang dekat dengan kuasa di Petrajaya berkata, peluang untuk Wahab bertanding di Daro adalah tipis, kerana kalaupun Murni berundur, kekosongan itu pasti diberi kepada calon lain, lebih-lebih lagi Adenan mahu seorang wakil rakyat hanya mewakili sama ada Dun atau Parlimen, dan bukan kedua-duanya sekali.

Keempat-empat kerusi di kawasan tengah Sarawak itu merupakan kubu kuat PBB, dan atas kertas, dianggap terlalu sukar untuk mana-mana calon pembangkang melakukan kejutan. Masyarakat Melanau masih menganggap PBB sebagai parti yang dapat digantung harap, dan mampu membawa pembangunan ke kawasan pesisiran itu.

Namun, seperti kawasan pesisiran lain di Sarawak, meskipun sudah berlaku perubahan, perubahan tersebut adalah amat perlahan, justeru ramai yang bertanya, apa transformasi yang telah dilakukan Wahab di kawasan terbabit, termasuk ketika beliau menjadi menteri muda Sarawak. – Sarawakvoice.com

daro map-0000

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru