Wednesday, November 30, 2022

Saya tergamam, tak tahu nak buat apa dan tak dapat lelapkan mata semalaman – Bapa mangsa culik lanun

Secara Rawak

Wong Chie Ming
Wong Chie Ming

SIBU: “Saya tergamam, bingung dan tak tahu nak buat apa. Sejak semalaman saya tak dapat melelapkan mata,” kata Wong Chie Ming, 55 tahun, bapa kepada dua anak kapal “Massive 6″ — Wong Teck Peng, 31 tahun dan Wong Teck Chi, 21 tahun — yang dilarikan penculik di perairan Semporna, Sabah semalam.

Chie Ming mengaku, mereka semua gelisah dan ketidaktentuan dalam berhadapan nasib malam ini.

Selain Teck Peng dan Teck Chi, dua lagi mangsa yang terlibat ialah Wong Hung Sing, 34 dan Johny Lau Jung Hien, 21.

” Kesemua mereka ada pertalian keluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman di Pulau Li Hua dekat sini.

culik lanun

Chie Ming memberitahu, mereka dimaklumi mengenai perkara tersebut sekitar jam 8.30 malam tadi (Jumaat) oleh seorang rakan keluarga.

” Dia memaklumkan bahawa kedua-dua anak saya dan rakan mereka telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata.

” Bagai batu besar jatuh ke dada, saya tersentak. Macam-macam yang saya bayangkan.

Katanya, yang boleh dilakukannya kini hanyalah berdoa agar kesemua mereka selamat pulang ke pangkuan keluarga.

Chee Ming berkata, kali terakhir anaknya menghubungi keluarga adalah pada pagi hari kejadian.

” Mereka memberitahu akan berangkat dari Filipina ke Tawau, Sabah dan dijangka tiba pada jam 5 pagi keesokannya,” katanya dengan wajah sugul dan sedih.

Menurutnya, setakat ini, pihak keluarga tidak menerima sebarang panggilan atau tuntutan daripada penculik.

” Kami hanya menerima panggilan daripada pihak polis dan syarikat tempat anak-anak saya bekerja” katanya yang kali terakhir bersua muka dengan dua beradik itu pada sambutan Tahun Baharu Cina yang lalu.

Jelas Chee Ming, isteri Teck Peng baharu melahirkan anak lelaki 10 hari lalu dan kini sedang berpantang.

” Teck Peng mempunyai seorang lagi anak berusia tiga tahun manakala adiknya,
Teck Chi pula masih bujang.

Isteri Teck Peng tambahnya, kini berada dalam keadaan sangat sedih dan tidak henti-henti menangis.

” Sebelum ini Teck Peng memberitahu isterinya dia hanya akan balik ke Sibu pada Mei akan datang setelah kapal mereka berlabuh di Miri” katanya.

Pasangan adik-beradik itu telah bekerja di syarikat perkapalan tersebut lebih setahun. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru