Monday, August 8, 2022

Najib akan runding singkatkan waktu menunggu di CIQ Brunei

Secara Rawak

LIMBANG: Rakyat Limbang dan Lawas menerima perkhabaran paling indah semalam apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan akan berunding dengan Kerajaan Brunei Darussalam untuk mencari kaedah sesuai memendekkan waktu menunggu di pusat pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantin di negara tersebut.

Najib berkata, komitmen itu penting bagi memastikan jangka waktu perjalanan di antara kedua-dua lokasi itu ke Miri dan Kuching dapat disingkatkan.

Ketika ini perjalanan darat dari Kuching ke Lawas memakan masa 20 jam berikutan pemeriksaan di sempadan kedua-dua negara ini.

Empat pusat pemeriksaan tersebut adalah  di Sungai Tujuh (Miri) dan Kuala Belait (Brunei), Tedungan (Limbang) dan Kuala Lurah (Brunei).

“Kita akan berunding dengan Kerajaan Negara Brunei Darussalam kalau boleh masa perjalanan dari Kuching ke Lawas dipendekkan antara 12 jam atau 14 jam, dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16 bilion, ” katanya semasa merasmikan program Sejiwa Senada Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang, dekat sini semalam.

Kata Perdana Menteri lagi, untuk perjalanan dari Kuching ke Miri pula, masa perjalanan akan dapat dipendekkan daripada 14 jam kepada sembilan jam setelah projek lebuh raya itu siap kelak.

Pada majlis yang sama, Najib turut membidas dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) “mabuk kuasa” seperti yang dilemparkan pihak tertentu sebelum ini, terutamanya pembangkang.

Pengerusi BN Pusat itu berkata, sekiranya kerajaan pimpinannya “mabuk kuasa”, tidak mungkin amalan demokrasi dapat dilaksanakan di negara ini, dengan rakyat diberikan hak untuk membuat pilihan mereka melalui pilihan raya.

“Kita mengadakan pilihan raya setiap lima tahun. Ini jelas membuktikan kerajaan tidak pernah menafikan hak rakyat untuk membuat pilihan siapa yang mereka rasakan terbaik dan berupaya membentuk kerajaan.

“Inilah cara BN membentuk kerajaan iaitu melalui pilihan raya yang sah…. melalui perolehan mandat rakyat berasaskan prinsip demokrasi dan bukan melalui pengisytiharan deklarasi atau demostrasi jalanan untuk menukar kerajaan,” tegasnya.

Amalan demokrasi tambahnya, perlu dihormati oleh semua pihak untuk menjamin kestabilan politik, keamanan negara, serta ketenteraman awam.

“Kita harus mengambil iktibar daripada pergolakan di beberapa negara luar di Timur Tengah.

” Berlaku perebutan kuasa…..perubahan kerajaan yang kononnya dilakukan atas alasan demokrasi….revolusi Arab Spring… tetapi berakhir dengan huru-hara,” katanya.

Program Sejiwa Senada mula dilancarkan di bandar raya Miri pada 8 hingga 10 Jan merupakan inisiatif turun padang perkhidmatan awam kerajaan negeri dan pusat, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta.

Program di Limbang adalah lokasi ketujuh dengan tiga lagi program serupa dilaksanakan di Sri Aman pada 8 hingga 10 April, Samarahan (15 hingga 17 April) dan berakhir di Kuching (22-24 April). – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru