Monday, November 28, 2022

Enam calon berpotensi BN Kabong tandatangan ikrar atas dokumen di Pejabat Ketua Menteri

Secara Rawak

KABONG: Sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu, calon-calon berpotensi bagi Barisan Nasional (BN) diminta berikrar di hadapan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Adenan Satem bahawa mereka tidak akan mensabotaj parti itu apabila tidak terpilih sebagai calon.

“Kami yang bernama dan bertandatangan di bawah sesungguh dan sebenar-benarnya berjanji untuk membantu, menyokong dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja di antara kami yang dipilih untuk menjadi calon Barisan Nasional bagi kawasan pilihan raya DUN 40 Kabong,” kata ikrar dan perjanjian itu.

Kerbau diikat pada hidungnya, bakal calon diikat pada janjinya.

Itulah yang bakal mengikat enam orang calon yang diuar-uarkan bakal mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kerusi baharu yang kini mendapat perhatian luar biasa pengundi.

Semalam, enam potensi calon di kerusi tersebut diminta berjumpa Adenan sekitar jam 10 pagi semalam di pejabatnya di Tingkat  22, Wisma Bapa Malaysia berbanding hanya tiga orang pada awal minggu ini.

Menurut Adenan, kesetiaan kepada BN penting kerana hanya seorang calon yang dipilih bagi mengisi kerusi tersebut.

” Saya tidak ada enam kerusi. Hanya ada satu dan jika tidak dipilih, saya minta anda tidak mensabotaj parti. Tidak berpaling sebagai calon bebas dan sebagainya,” pesan Adenan kepada potensi calon semalam.

Berbanding hanya berikrar, kesemua enam potensi calon anak tempatan Kabong ini diminta untuk menurunkan tandatangan pada akujanji, yang disaksikan oleh Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Azmi Bujang.

Enam potensi calon ini ialah Mohd Chee Kadir, Dirwana Azool, Dr. Haji Rossna Bolhassan, Kamaluddin Haji Alkap, Haji Olen Tabur dan Abdullah Sulaiman.

Bagaimanapun seperti di Kabong, Adenan dalam pertemuan singkat itu tidak memberikan bayangan siapa bakal membawa bendera BN pada hari pencalonan kelak.

Sebelum ini, nama Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar hangat diperkata bakal muncul sebagai calon pertama DUN baharu itu, namun Adenan telah membuat ketetapan bahawa hanya calon anak tempatan yang dikemukakan.

Calon potensi yang hadir pada pertemuan tersebut termasuklah Dirwana Azool, 50, yang kini bertugas sebagai Pengarah Perpaduan dan Intergrasi Nasional Sarawak.

Turut hadir Mohd Chee Kadir, 65, yang kini Timbalan Walikota Miri, dan Dr. Haji Rossana, 57, yang merupakan pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang Kuching.

Tiga calon potensi lain ialah Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Haji Alkap, 57, Haji Olen Tabor, yang bertugas sebagai pensyarah di IPG Rajang Bintangor dan
Abdullah Sulaiman, 47, seorang akauntan di salah sebuah syarikat ternama di Kuching.

Turut hadir Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz — yang dikhabarkan akan kekal bertanding di DUN Kalaka. – Sarawakvoice.com

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru