Friday, October 7, 2022

Empat anak kapal Sarawak diculik lanun bersenjata di perairan Semporna, Sabah

Secara Rawak

KUCHING: Empat rakyat Malaysia dari Sarawak, yang bekerja sebagai anak kapal sebuah bot tunda dipercayai diculik oleh sekumpulan lanun bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah petang semalam.

Menurut sumber keselamatan, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 6.15 petang semalam apabila kapal tersebut, Massive 6 yang berdaftar di Sarawak dipintas dan ditawan lapan lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan dari Manila ke Tawau.

massive 6

Pemilik kapal dikatakan telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri sekitar jam 12 pagi tadi, berhubung kejadian itu.

Empat anak kapal dari Sarawak itu kemudian dikenal pasti sebagai Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johny Lau Jung Hien, 21 tahun. Tiga daripada mangsa berasal dari Pulau Li Hua manakala seorang dari Jalan Lanang, Sibu, Sarawak.

culik lanun

Menurut saksi, ketika kejadian, bot tunda itu telah didatangi oleh sebuah bot laju berwarna kelabu dengan dua enjin berkuasa besar.

Bot laju tersebut dinaiki lapan saspek berpakaian hitam, bertopeng dan bertutur bahasa tagalog, serta tidak fasih berbahasa Inggeris.

Empat saspek kemudian menaiki bot tunda tersebut dan mengacu senjata api ke arah juragan dan anak kapal manakala empat lagi menunggu di dalam bot.

Sebelum membawa lari mangsa, mereka sempat merampas laptop, telefon bimbit, kunci kereta dan sejumlah wang tunai di dalam peti simpanan kapal.

Sebaik selesai, saspek bersama tebusan kemudian dilihat melarikan diri ke arah Pulau Ligitan.

Lima anak kapal lain iaitu tiga dari Myanmar dan dua dari Indonesia tidak diapa-apakan dan kini sedang memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Tawau.

Difahamkan, Pesuruhjaya Polis Sabah yang juga bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun akan membuat sidang media berhubung kes ini pagi ini.

Beberapa kawasan pantai Timur Sabah seperti Tungku, Semporna, Kunak dan Lahad Datu memang menjadi tumpuan kegiatan perlanunan, dan berlaku sejak 1980-an.

Namun, kini terdapat juga aktiviti yang dikenali sebagai mundu dalam kalangan penduduk tempatan. Terdapat 28 kes mundu dari 2001 hinggga 2003 misalnya.yang dilakukan oleh rakyat Filipina. Terdapat lebih kurang 20 kumpulan mundu yang bergiat aktif menurut satu kajian.

Kumpulan yang aktif dikenali sebagai Kumpulan Pipi Uwah, Sarikal, Akil Jani, dan Madjuran.

Kawasan perairan Sabah pernah menyaksikan serangan lanunan di Pulau Bum-Bum pada 1963, Saleha pada 1979,perstiwa Pulau Denawan, Semporna pada 1982, Pulau Timba pada 1982, Pulau Bohey Dulang pada 1987.

Kegiatan lanunan ini bertujuan untuk mendapatkan wang tebusan bernilai puluhan juta ringgit sebelum tebusan dibebaskan. Selain serangan di daratan dan pantai, kumpulan ini semakin aktif merompak dan merampas kapal sejak beberapa tahun lalu.

Pada 23 April 2000 misalnya, enam kumpulan Abu Sayaff bersenjatakan AK47 Bazooka dan M16 menawan 10 orang rakyat Malaysia di Pulau Sipadan.

Menurut pakar keselamatan, kejasama pihak ketenteraan Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand, dan Filipina wajar ditingkatkan dengan memantau kawasan perairan dengan lebih kerap.

“Pihak kerajaan harus memperkuat dan memperhebat penguatkuasaan maritim. Hal ini dapat dilakukan dengan penglibatan pelbagai agensi melalui rondaan, dan mereka bertindak dengan segera jika memerima maklumat tentang ancaman lanun. Dengan ini, usaha membanteras ancaman lanun akan mampu dicapai,” katanya .

Modus operandi dan gerak-geri mereka dalam menjalankan aktiviti perlanunan serta kawasan yang aktif dengan aktiviti perlanunan perlu juga dipantau.

Aktiviti perlanunan wajar dibanteras secara menyeluruh kerana akan menjadikan perairan antarabangsa berisiko tinggi selain menjejaskan perdagangan antarabangsa. – Sarawakvoice.com

Ligitan-group

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru