Tuesday, December 6, 2022

Culik: Ketua Polis Negara sahkan belum ada tuntutan tebusan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, polis masih belum menerima sebarang maklumat tentang tuntutan tebusan daripada kumpulan bersenjata yang menculik empat rakyat Malaysia di perairan Semporna, Sabah, semalam.

Menurutnya, pihaknya masih berusaha mengesan sama ada penculikan berkenaan melibatkan jenayah rentas sempadan atau tidak.

“Kita masih menyiasat sekiranya penculikan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf,” katanya seperti yang dipetik daripada Bernama.

Mengulas mengenai keselamatan di perairan Sabah, beliau berkata kawasan perairan di sempadan selatan Filipina dan pantai timur Sabah adalah tidak selamat.

Justeru, beliau mencadangkan supaya segala bentuk bantuan, hubungan perniagaan serta pembekalan barang keperluan ke Selatan Filipina dari Sabah digantung serta-merta bagi tujuan keselamatan.

Katanya, kegiatan berkenaan menyukarkan pasukan keselamatan melakukan pemantauan menyeluruh.

Sekitar jam 6.15 petang semalam, empat rakyat Malaysia dari Sibu, Sarawak yang bertugas di sebuah kapal yang didaftarkan atas nama ‘Masfive 6’ diculik lapan lelaki bersenjata ketika dalam pelayaran balik dari Filipina ke Malaysia.

Keempat-empat lelaki berumur 21 hingga 34 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

Pengurus pentadbiran syarikat perkapalan tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak semalam setelah menerima panggilan telefon daripada rakan setugas memaklumkan mengenai penculikan itu.

Salinan laporan polis itu difaksimili ke bilik gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Sabah untuk tindakan susulan dan pagi tadi, polis Sabah mengesahkan mengenai kejadian itu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru