Sekiranya kita ingin melihat barisan depan kepemimpinan negeri dan negara masa depan, kita perlu melihat kepemimpinan muda pada hari ini. Jadi, kepemimpinan muda hari inilah yang akan mencorakkan masa depan negeri dan negara pada masa akan datang. Berdasarkan kepentingan ini, maka pemilihan kepemimpinan muda sebenarnya sangat penting dan kritikal.
Pemilihan oleh Tan Sri Adenan Satem selaku pengerusi BN negeri Sarawak menunjukkan cita rasa politik Ketua Menteri Sarawak, inspirasi dan aspirasi barisan kepemimpinan BN dan membayangkan pemimpin masa depan yang dimahukan oleh Barisan Nasional Negeri. Aspirasi bermaksud keinginan kuat barisan kepemimpinan BN Sarawak, manakala inspirasi pula bermakna ilham hasil daripada situasi semasa politik yang menjelmakan barisan politik idaman beliau dan pasukannya.
Pemimpin muda inilah yang bakal mengambil alih kepemimpinan lama bagi mengisi kelompangan calon yang bakal digugurkan. Berdasarkan perlakuan politik dalam ilmu sains politik, terdapat banyak faktor calon lama digantikan dengan calon baharu. Pertama, sudah dianggap terlalu lama berkhidmat.
Calon prestasi rendah
Kedua, calon berprestasi rendah. Berprestasi rendah dapat diukur melalui pencapaian pilihan raya negeri dari segi jumlah undi semakin turun, malah hingga mampu menang tipis sahaja. Prestasi rendah dijadikan petunjuk sekiranya terdapat banyak rungutan dalam kalangan pengundi yang wakil rakyat mereka tidak menunaikan janji pilihan raya. Menjadi wakil rakyat di kawasan pedalaman, akan tetapi lebih banyak kelihatan di ibu kota.
Pengundi konservatif pula terlalu sayang terhadap parti dan sentiasa memberikan peluang wakil rakyat mereka berubah. Namun, apabila beralih arah kepada pengundi pembangkang kadangkala bukanlah kerana meraka suka sangat dengan pembangkang. Tetapi sekadar menunjukkan undi protes terhadap wakil rakyat mereka yang tidak ditukar kerana berprestasi rendah.
Ketiga, ada juga wakil rakyat berundur akibat kesihatan dan ada pula berundur secara sukarela. Pengunduran Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri disebabkan faktor secara sukarela tanpa tunduk kepada desakan para penyokongnya untuk terus menjadi Ketua Menteri seumur hidup atau hingga hari kiamat.
Begitu, juga Tun Dr Mahathir Mohamad berundur tanpa paksaan biarpun ramai yang menangis dan mendesak beliau mengekalkan jawatan Perdana Menteri dalam perhimpunan agung Umno yang bersejarah itu.
Dalam politik bukan tidak pernah mereka yang berhasrat atau berjanji untuk berundur, akan tetapi mengubah pendirian dan menyatakan tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk berundur, atau juga menyatakan menyerahkan kepada budi bicara Ketua Menteri untuk menentukannya.
Calon baharu intergriti tinggi
Mengemukakan calon baharu merupakan strategi meremajakan parti. Sekiranya kita melihat parti DAP dan PKR, parti tersebut banyak diwakili calon muda. Malah, mereka berumur di bawah 30-an.
Christina Chiew ketika menjadi wakil rakyat Batu Kawa hanya berumur 24 tahun. Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR apabila dipilih menjadi wakil rakyat beliau hanyalah berumur 26 tahun. Kini, beliau merupakan exco negeri Selangor untuk Pendidikan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi.
Strategi bukan sahaja terletak pada umur muda, tetapi berpendidikan tinggi. Nik Nazmi kelulusan King College London dalam bidang undang-undang. Tony Pua pula lulusan Universiti Oxford, bidang falsafah, politik dan ekonomi. Meskipun demikian mereka tetap merendah diri dan berjiwa rakyat, dan ini disukai oleh pengundi generasi baharu.
Ciri-ciri tersebut memancarkan tahap pendidikan tinggi, intelektual,berintergriti tinggi, tanpa liabiliti politik, dan bukan muda sebarang muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara dan menjadi jurucakap rakyat.
Sudah sewajarnya BN Sarawak membariskan calon kepemimpinan muda sesuai dengan cita rasa zaman yang mempunyai idea segar dan tidak dianggap ketinggalan zaman. Generasi pengundi muda kini sudah dapat membezakan antara pembaratan dengan pemodenan. Yang barat tidak semestinya moden, manakala yang moden tidak semestinya dari barat.
Justeru, calon muda pelapis kepemimpinan BN Sarawak perlu dipilih berdasarkan prinsip ‘terbaik dalam kalangan yang terbaik (best of the best) ’ atau disebut sebagai ‘cream de le cream’. Sejauh manakah BN Sarawak berjaya menampilkan calon-calon muda yang mempunyai ciri tersebut? Kesemua ini hanya dapat kita nilai apabila senarai calon dimuktamadkan oleh Ketua Menteri Sarawak dalam beberapa hari lagi. – Sarawakvoice.com