GEORGE TOWN: Wanita Barisan Nasional (BN) berharap agar lebih ramai wanita akan diberi peluang untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang ke-11.

Seperti dipetik Bernama, Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau berhasrat untuk melihat lebih ramai Wanita BN diberi peluang oleh pucuk pimpinan parti untuk dicalonkan dalam pilihan raya itu.

Katanya wanita-wanita BN di Sarawak sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya dan mereka telah lama turun ke akar umbi untuk berjumpa dengan pengundi di Sarawak sebagai persiapan menghadapinya.

“Selain menjadi tulang belakang untuk memastikan kemenangan BN, hasrat wanita BN adalah supaya lebih ramai wanita dicalonkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Skuad An-Nur Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang di Balik Pulau di sini hari ini.

Beliau yakin cadangan itu akan diberi pertimbangan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang katanya merupakan seorang pemimpin inklusif dan tidak pernah mengabaikan peranan sayap Wanita BN.

“Saya yakin calon-calon wanita BN sekiranya diberi peluang juga mampu memberikan kemenangan kepada BN kerana lebih 50 peratus pengundi Sarawak adalah daripada kaum wanita,” katanya.

Ketika ini, Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai tiga wanita daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan seorang daripada Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Wakil rakyat PBB terbabit ialah Datuk Fatimah Abdullah di Dalat, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Simoi Peri (Lingga).

Wanita tunggal daripada TERAS ialah Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Rosey Yunus. – Sarawakvoice.com