Monday, December 5, 2022

SPR tunggu notis sebelum adakan mesyuarat khas: Pengerusi

Secara Rawak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas sejurus menerima notis pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak daripada Speaker, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, pihaknya setakat ini telah dimaklumkan secara lisan berhubung pengumuman Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk membubarkan Dun  Sarawak pada 11 April depan.

” Mesyuarat khas itu kelak akan menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan pilihan raya negeri, termasuk tarikh mengeluarkan writ, hari penamaan calon, tarikh undi pos serta hari pembuangan undi.

” Malah mesyuarat tersebut juga akan menentukan daftar pemilih yang akan digunakan,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media.

Hashim menjelaskan, pihaknya harus mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dun.

Sementara itu, Pengarah SPR Sarawak, Datu Takun Sunggah ketika dihubungi petang semalam berkata, pihaknya belum dimaklumkan secara rasmi berhubung pembubaran itu.

” Kami menjangkakan notis pembubaran akan diserahkan oleh Speaker selepas 11 April kelak.

SPR Sarawak katanya, telah bersedia untuk melaksanakan sistem demokrasi tersebut sejak beberapa bulan lalu.

” Segala latihan dan taklimat di pelbagai peringkat telah dilaksanakan manakala peruntukan kewangan telah pun dipohon,” katanya.

Sebanyak RM135.6 juta telah diperuntukkan untuk tujuan ini berikutan
penambahan jumlah kerusi daripada 71 kepada 82 kerusi, serta kos operasi yang semakin meningkat.

Jumlah peruntukan yang digunakan SPR dalam PRN lepas adalah sebanyak RM79 juta.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 ini menyaksikan peningkatan jumlah pemilih berdaftar sebanyak 1.14 juta orang, berbanding 979 ribu pada 2011.

Daripada jumlah itu, 49.92 peratus adalah lelaki manakala 50.08 peratus adalah perempuan manakala mereka yang berusia 50 tahun ke bawah adalah sekitar 56.4 peratus.

Ia membabitkan sebanyak 1,869 pusat mengundi dan 2936 saluran mengundi di seluruh negeri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru