Monday, December 5, 2022

Notis bubar DUN Sarawak telah diserah kepada SPR pagi ini

Secara Rawak

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar hari ini berkata, notis pembubaran Dun Sarawak pada 11 April depan telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya pagi tadi.

Dalam sidang media di Dun  Sarawak pagi tadi, beliau memaklumkan telah menghubungi dan memaklumkan perkara tersebut kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

“Kita telah memaklumkan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, Pengerusi SPR pagi ini menerusi surat saya bertarikh 1 April berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk memboleh SPR mengambil tindakan lanjut terutama sekali berkenaan dengan hari penamaan calon dan hari mengundi,” katanya dalam sidang media khas di Dun Sarawak pagi tadi.

Katanya, selepas ini terserah kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas sejurus menerima notis pembubaran ini.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 ini menyaksikan peningkatan jumlah pemilih berdaftar sebanyak 1.14 juta orang, berbanding 979 ribu pada 2011.

Daripada jumlah itu, 49.92 peratus adalah lelaki manakala 50.08 peratus adalah perempuan manakala mereka yang berusia 50 tahun ke bawah adalah sekitar 56.4 peratus.

Ia membabitkan sebanyak 1,869 pusat mengundi dan 2936 saluran mengundi di seluruh negeri.

Untuk rekod, Sarawak mempunyai Dewan Undangan Negeri paling tua di negara ini, yang ditubuhkan sejak 8 September 1867.

Mengulas tentang tarikh pembubaran tersebut, Asfia dengan nada yang tegas tetapi secara berseloroh berkata: ” kita berasa terharu kerana Gabenor memilih tarikh 11 April kerana berlaku penambahan 11 kerusi pada pilihan raya negeri ke-11 dan macam-macam lagi 11″.

Katanya, sidang pertama Dun 2016 bersekali dengan majlis angkat sumpah Adun baharu akan diadakan dalam tempoh 120 hari selepas pembubaran ini berlangsung.

“Tiada pengubahsuaian pada ruang persidangan akan dilakukan kecuali penambahan 11 kerusi baharu dan mikrofon memandangkan Dun baharu ini mampu memuatkan sehingga 109 kerusi.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru