KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata hujan lebat yang menyebabkan banjir di Kuching, Serian dan Samarahan di Sarawak berpunca daripada sistem tekanan rendah yang berada di kawasan negeri itu dan Kalimantan.

“Keadaan ini menggalakkan aktiviti pembentukan awan hujan dan menyebabkan hujan lebat sejak semalam, berterusan sehingga esok,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Langkawi dan Arau, kata Madius lagi, masih mencatat bilangan hari tanpa hujan tertinggi sehingga semalam iaitu 45 hari di Langkawi, diikuti Arau 40 hari.

“Manakala Alor Setar dan Chuping kini dilanda gelombang haba dengan suhu tertinggi iaitu 38.6C di Alor Setar diikuti oleh Chuping dengan bacaan 38.3C.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi pada 8 Mac lepas, cuaca panas berikutan fenomena El Nino yang dialami sekarang, diramal kembali normal pada Jun. – Sarawakvoice.com