KUCHING: Pembangkang yang bakal menentang Barisan Nasional atau calon langsung di lapan kerusi Bidayuh dijangka mengeksploitasikan isu kurangnya pembangunan  meskipun Sarawak sudah merdeka lebih 53 tahun, kata Profesor Madya Dr Ahi Sarok.

Isu tempatan pasti tidak terlepas daripada perhatian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, yang dijangka bertanding di beberapa kerusi.

“Rakyat tertanya-tanya bila mereka akan dapat menikmati kemudahan seperti air bersih. Di kawasan Puncak Borneo, misalnya,  ada batang paip, tetapi belum dibekalkan dengan air yang bersih dari empangan Bengoh,” kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak itu.

Beliau menambah, isu lain yang bakal dimanipulasikan bergantung kepada kawasan, sambil mengakui setiap kawasan tetap ada isu, dengan sesetengahnya direka-reka oleh pembangkang.

Bagaimanapun, pensyarah sains politik itu mengakui,  dalam pilihan raya yang dijangka diadakan pada 7 Mei atau selewat-lewatnya 14  Mei itu, lebih banyak isu tempatan daripada isu nasional dijangka dimainkan.

Misalnya, isu air bersih di kawasan luar bandar, jambatan menyeberangi Batang Kayan ke Kampung Selampit di kawasan Opar, isu pengambilan tanah di Tasik Biru untuk tujuan perladangan, dan isu pemberian hak milik tanah NCR di semua kawasan Bidayuh.

Katanya, pembangkang akan memanfaatkan isu-isu nasional seperti 1MDB, kenaikan harga barang, dan derma RM2.6 bilion, selain tentunya isu GST,” katanya.

Meskipun ditengah-tengah asakan pembangkang, Dr Ahi percaya masyarakat Bidayuh tetap  akan menyokong calon Barisan Nasional, terutamanya daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam pilihan raya ini kerana mereka sudah tahu calon penyandang akan dikekalkan, dan wakil rakyat berkenaan telah memperlihatkan prestasi yang baik, katanya.

Penganalisis itu berkata, mereka sering turun padang, dan banyak membawa perubahan dan pembangunan ke kawasan yang diwakili.

“Rakyat puas hati dengan pencapaian mereka. Lagipun, wakil rakyat berkenaan merupakan menteri dan timbalan speaker kecuali  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedup. Dengan jawatan itu, memungkinkan mereka mendapat geran kecil projek pembangunan luar bandar yang lebih banyak untuk disalurkan ke kawasan, “ katanya.

Dalam  pilihan raya negeri 2011,  menurut beliau, kesemua  kerusi  majoriti Bidayuh, memihak kepada calon Barisan Nasional (BN).

Selain Serumbu dan Bukit Semuja, kerusi majoriti Bidayuh yang lain ialah Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup, Tasik Biru dan Opar. – Sarawakvoice.com