KOTA SAMARAHAN:  Dengan  10 lagi kerusi bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) belum diumumkan, kini teka-teki dalam kalangan pengundi di  tiga kerusi di bawah kerusi Parlimen Samarahan, ialah siapakah bakal mewakili Barisan Nasional (BN) di tengah-tengah pelbagai spekulasi mengenainya.

Bebas daripada pelbagai kontroversi dan masalah, ketiga-tiga kerusi itu merupakan kubu kuat BN, dan bagi pemerhati politik, sukar bagi mana-mana calon pembangkang untuk menembusinya.

Paling baik pun pencapaian mereka, adalah hanya mampu menghakiskan undi majoriti, tetapi untuk memenangi sebarang kerusi, terbabit adalah hanya satu impian.

Namun, dipercayai, kerusi berkenaan pasti tidak dibenarkan dimenangi tanpa bertanding. Setakat ini sudah terdapat ura-ura BN bakal ditentang oleh calon Parti Keadilan Rakyat  (PKR) atau Pas.

Satu kerusi baharu, Stakan menjadi perhatian, dengan terdapat ramalan bahawa  Datuk Sri Mohamad Ali Mahmud, adik bekas Ketua Menteri Tun Abdul Taib Mahmud, dikatakan akan berpindah dari Muara Tuang.  

Stakan merupakan satu daripada 11  kerusi baharu  Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).

Daripada 11 kerusi DUN itu, tiga ialah kawasan majoriti kaum Melayu/Melanau (Gedong, Kabong dan Tellian), tiga majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan Samalaju), dua majoriti Orang Ulu (Murum dan Long Lama) dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh), dan satu majoriti kaum Cina (Batu Kitang).

Daripada jumlah berkenaan, PBB diperuntukkan lima kerusi baharu, yang dipercayai dapat dimenanginya tanpa banyak masalah.

Kalau betul spekulasi itu, tidak pula diketahui mengapa keputusan itu diambil, tetapi ada desas-desus mengatakan, kerusi Stakan adalah lebih selamat untuk beliau walaupun hakikatnya, kalaupun beliau kekal di kerusi lama itu, tidak ada masalah untuk beliau memenanginya.

Kekosongan itu bakal diisi oleh seorang peguam Datuk Idris Buang, yang namanya sudah pun disebut-sebut sejak tiga bulan lalu.  

Datuk Abdul Karim Hamzah, penyandang kerusi Asajaya pula, tidak syak lagi, kekal di kerusi berkenaan, kerana pencapaiannya yang memuaskan dalam kalangan pengundi.

Ketua Menteri dijangka mengumumkan nama ketiga-tiga calon itu dalam satu acara yang dihadirinya di sini dalam beberapa hari lagi, kerana berbeza daripada beberapa kerusi yang masih kontroversi, tidak ada sebab untuk beliau melengah-lengahkan pengumuman berkenaan, kata satu sumber.

Pada 2011, Mohamad Ali memenangi kerusi itu dengan memperoleh 11,039 undi berbanding Noraini  Hamzah daripada PKR yang mendapat 3,196 undi.   Jumlah pengundi yang turun mengundi ialah 77.4 peratus daripada 18,820 pengundi berdaftar.

Abdul Karim pula mendapat majoriti 4,489 undi apabila mendapat 7,597 undi, berbanding calon PKR Arip Ameron yang merraih 3,108 undi. Daripada 13,799 pengundi berdaftar, 78.9 peratus turun mengundi.

Jumlah peratusan undi dimenangi kedua-dua calon itu di kerusi majoriti Melayu berkenaan, masing-masingnya ialah 75.8 peratus bagi Mohamad Ali, dan 69.8 peratus bagi Abdul Karim.- Sarawakvoice.com