MIRI: Keadaan cuaca kering dan panas yang melanda bahagian utara negeri ini menyebabkan kebakaran hutan di kawasan tanah gambut Kuala Baram di sini masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran yang berlaku sejak Februari lalu masih berlarutan hingga kini iaitu hampir dua bulan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong, berkata kebakaran sama pernah berlaku sebelum ini hanya membabitkan masa dua hingga tiga minggu.

Bagaimanapun, katanya, cuaca panas dan kering disusuli angin kuat menyebabkan kebakaran yang sudah dipadamkan terbakar kembali.

“Kebakaran memang sudah dipadamkan tetapi masih ada beberapa kawasan kecil yang masih mengeluarkan asap. Apabila angin bertiup, bara itu manghidupkan semula api, sekali gus merebak ke kawasan lain,” katanya.

Law berkata, bomba tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, bomba bersama kakitangan syarikat swasta masih lagi memantau kebakaran hutan di Kuala Baram sehingga kini bagi memastikan api padam sepenuhnya.

“Kebakaran hutan di Kuala Baram sejak Februari lalu membabitkan kawasan lebih 10 hektar,” katanya yang berharap masyarakat tidak melakukan pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas serta kering ini. – Sarawakvoice.com