KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan pada Isnin, 11 April depan.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud telah bersetuju dengan tarikh tersebut ketika beliau menasihatinya pada pagi tadi.

Adenan berkata, selepas pembubaran, pihaknya akan menyerahkan kepada budi bicara Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan bila tarikh keluar writ, selain menetapkan bila hari penamaan calon serta hari pembuangan undi.

Pilihan raya negeri Sarawak kali ini menyaksikan pertandingan melibatkan 82 kerusi, dengan tambahan 11 kerusi baharu.

Sebanyak 1.14 juta pengundi terlibat dalam pelaksanaan demokrasi kali ini berbanding 979 ribu pada 2011.

Daripada jumlah itu, 49.92 peratus adalah lelaki manakala 50.08 peratus adalah perempuan manakala mereka yang berusia 50 tahun ke bawah adalah sekitar 56.4 peratus.

Pilihan raya ini juga melibatkan sebanyak 1,869 pusat mengundi dan 2936 saluran mengundi di seluruh negeri.

Kali terakhir Sarawak terlibat dalam pilihan raya adalah pada pada 16 April (Sabtu) penamaan calon 6 April (Sabtu) dan pembubaran Dun, 21 Mac (Rabu).

Ketika itu, Dun dibubarkan 27 hari sebelum pilihan raya manakala tempoh kempen ialah 10 hari. – Sarawakvoice.com