KUCHING: Di atas kertas, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dijadualkan untuk bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada pagi ini.

Jadual pertemuan ditetapkan pada jam 10.00 pagi bertempat di Astana Negeri, Petra Jaya dan dijangka akan berlangsung sekitar 15 ke 20 minit.

bubar dun sarawak 3

Ini berikutan Ketua Menteri akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri sekitar setengah jam selepas itu, di pusat pentadbiran kerajaan di Wisma Bapa Malaysia.

Menjadi rutin kepada Tan Sri Adenan untuk bertemu Tun Abdul Taib sama ada untuk mendapatkan nasihat, membincangkan ataupun membentangkan pelbagai perkara atau isu semasa negeri sebelum mesyuarat kabinet berlangsung.

Akan tetapi istimewanya pertemuan kali ini, ia mungkin turut menyelitkan agenda pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-11 dilangsungkan.

Jika dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, mungkinkah pengumuman pembubaran Dun  akan dilakukan pada hari ini, selepas mesyuarat kabinet berakhir? Atau pada Jumaat, 1 April – sebelum Adenan berangkat ke Miri, untuk bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada lusa di Limbang, bagi merasmikan Program Sejiwa Senada.

Banyak pemerhati politik meramalkan tarikh pembubaran ini akan berlaku seawal hari ini atau esok — yang dilihat seiring dengan kenyataan “very-very soon” Adenan sebelum ini.

bubar dun sarawak
Mengira detik

Mereka juga berpendapat, pembubaran 80 hari sebelum tarikh matang Dun Sarawak yakni, 20 Jun 2016 akan memberi ruang secukupnya untuk pihak pentadbir pilihan raya (Suruhanjaya Pilihan Raya – SPR) menyediakan dua atau tiga minggu pertama selepas itu untuk proses penamaan calon dan melaksanakan pilihan raya selepas 10 hingga 15 hari berkempen.

Tiga tarikh popular yang dikaitkan dengan pilihan raya negeri ketika ini ialah 2, 7 atau 14 Mei, dan ia bergantung kepada persediaan dan kesiapsiagaan SPR, yang ketika ini difahamkan sudah berada dalam “gear penuh”.

Dalam pertemuan dengan Tun Abdul Taib ini juga, Adenan dijangka turut membentangkan beberapa agenda penting negeri termasuk cadangan pelaksanaan cuti khas pada 22 Julai sempena kemerdekaan Sarawak serta pengurangan kadar cukai pintu untuk negeri ini, sebagai inisiatif terkini membantu meringankan beban rakyat.

Yang jelas, sebaik pertemuan ini selesai, masing-masing pihak media yang terlibat, tidak sabar menunggu “notis singkat” Pejabat Ketua Menteri untuk sidang media “khas” Ketua Menteri Sarawak.

Untuk rekod, pemakluman tentang perjumpaan Ketua Menteri dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi melaksanakan pilihan raya 2011, berlaku di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sewaktu Tun Abdul Taib Mahmud diasak oleh wartawan tentang “tarikh keramat” tersebut, pada sidang media yang sepatutnya dihoskan oleh Najib.

Pilihan raya negeri 2011 kemudian diadakan pada 16 April (Sabtu) penamaan calon 6 April (Sabtu) dan pembubaran Dun, 21 Mac (Rabu) Maksudnya, Dun dibubarkan 27 hari sebelum pilihan raya manakala tempoh kempen ialah 10 hari. – Sarawakvoice.com