Kini ada calon berpotensi yang tidak nyenyak tidur dan berpeluh dingin, tidak kira calon BN atau parti pembangkang. Mereka kadangkala mengigau dan mengalami mimpi ngeri. Kita faham mengapa sesetengah daripada mereka mengalami mimpi buruk.

Mereka takut tidak dicalonkan dalam pilihan raya negeri  nanti. Terdapat beberapa kerusi sampai ada tiga atau empat calon berpotensi. Nama mereka berada di radar politik Ketua Menteri di Petrajaya. Ini termasuk wakil rakyat daripada  UPP dan Teras.

Tidak hairanlah, ada daripada wakil rakyat  kita mati-matian mengatakan bahawa peluang untuk beliau menang di kawasannya adalah cerah. Wong  Soon Koh, misalnya secara terbuka memberitahu dia perlukan lima tahun lagi.  Ya, lima tahun selepas puluhan tahun mewakili kawasan berkenaan.  Mereka kononnya hendak teruskan agenda pembangunan. Apa sebenarnya yang dilakukan wakil rakyat berkenaan belasan tahun atau puluhan tahun lalu? Tidak cukupkah tempoh tersebut?  Betullah, kuasa adalah memabukkan.

Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat mahu memastikan bahawa calon yang bertanding dapat memenangi kawasan terbabit.  Ketua Menteri kelihatannya tidak meletakkan had umur dan juga  tempoh wakil rakyat bagi calonnya, asalkan calon berkenaan boleh menang. Yang penting ialah individu berkenaan ialah calon terbaik untuk Barisan Nasional (BN).

Tidak ada yang tidak mahu menang dalam pilihan raya. Semua orang mahu menang. Tetapi bukan mudah untuk menang. Tidak hairanlah, ada wakil rakyat yang sudah lama tidak turun ke bawah tiba-tiba semakin ligat berjumpa rakyat.

Memang menarik meneliti kerenah sesetengah wakil rakyat. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan nama mereka tidak terlepas daripada senarai. Mereka mahu terus menikmati pelbagai ganjaran dan faedah sebagai wakil rakyat.

Kini, elaun wakil rakyat bukan RM3,000 seperti puluhan tahun lalu, tetapi sudah mencecah RM15,000. Kalau nasib baik, menjadi menteri muda, dan gaji tentu mencecah sekurang-kurang RM30,000.

Sebenarnya, tidak mudah untuk memenangi hati rakyat. Semakin sukar untuk mana-mana calon menambat hati pengundi, lebih-lebih lagi pengundi kelas menengah, pengundi bandar dan pengundi muda.

Mereka pengundi yang kritis dan sering  menilai berdasarkan isu yang berkembang dalam masyarakat dan  negara. Zaman  menganggap pengundi pasti akan mengundi parti BN sudah berlalu. Ini zaman rakyat menjadi hakim yang sentiasa menilai tindakan dan kata-kata calon, pemimpin dan parti.

Keadaan sudah jauh berubah kerana banyak faktor, termasuk tahap  kesedaran atau celik politik yang semakin tinggi, peranan media alternatif, tahap pendidikan yang meningkat, dan sebagainya.

Calon yang bagaimanakah yang dikatakan sebagai berpotensi besar untuk menang?

Muda dan berkelayakan semata-mata tidak boleh menjamin kemenangan. Banyak yang muda dan berkelayakan tinggi turut kalah. Banyak juga yang tua dan lama menjadi wakil rakyat menang. Tetapi tentu lebih baik bagi yang sudah terlalu lama menjadi wakil rakyat untuk berundur, dan memberi laluan kepada muka baharu, lebih-lebih lagi jika wakil rakyat berkenaan mempunyai rekod buruk.

Mereka yang jarang-jarang turun ke padang, hanya menyerahkan tugas kepada wakil, kedekut, tidak prihatin terhadap masalah dan aduan rakyat, tidak membawa sebarang perubahan dan pembangunan, ego atau sombong tidak harus diberi tempat.

Calon yang diingini oleh rakyat ialah calon yang peka dan prihatin terhadap keperluan dan masalah rakyat dan calon yang mesra rakyat. Pengundi mahu memastikan bahawa calon berkenaan apabila sudah menjadi wakil rakyat nanti sentiasa mahu mendekatkan diri dengan rakyat akar umbi, mudah didekati dan mendengar rintihan dan keluhan mereka.

Mereka juga cenderung memilih calon yang dapat membawa pembangunan dan memenuhi janji. Jadi, mana-mana wakil rakyat yang telah melontarkan janji tetapi tidak mengotakannya, awas! Mereka benci kepada wakil rakyat yang hanya pandai berjanji. Mereka tidak suka wakil rakyat yang hipokrit dan hanya kelihatan prihatin menjelang pilihan raya. – Sarawakvoice.com