Tuesday, December 6, 2022

Drama kehilangan Haiqal berakhir, dihantar ke pangkuan keluarga, dijaga baik dan polis Kuching tahan lelaki terlibat

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak petang tadi menahan seorang lelaki Iban berusia 30-an di sebuah rumah di Kampung Siol Kandis dekat sini bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki hilang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata, penahanan itu dibuat setelah mangsa dijumpai semula sekitar jam 3 petang tadi.

” Mangsa telah dihantar pulang ke rumah nenek sebelah bapanya oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Honda,” katanya.

Sejurus selepas itu, bertindak atas maklumat, sekitar jam 5 petang, sepasukan polis daripada Cawangan D9 IPK Sarawak dan D9 IPD Kuching telah melakukan serbuan dan menangkap lelaki tersebut.

Jelas Abang Ahmad, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali kedua-dua suspek.

“Mangsa malah dilayan dengan baik dan dibawa bermalam di rumah lelaki tersebut.

Katanya, mangsa selepas itu telah dibawa pulang ke kawasan kampungnya seterusnya menunjukkan rumah neneknya iaitu emak pengadu.

” Beliau dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya lagi.

Terdahulu, penduduk di sekitar Petra Jaya gempar apabila dua individu, masing-masing seorang wanita dan seorang lelaki, dipercayai bertindak melarikan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ketika sedang leka bermain di perkarangan rumah datuknya di Jalan Astana, Petra Jaya di sini kelmarin.

Sehubungan itu, polis menurut Abang Ahmad dalam sidang media pada pagi tadi, bertindak mengesan motosikal digunakan dalam kejadian itu berpandukan kepada semakan rekod nombor pendaftaran kenderaan terbabit.

“Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada premis perniagaan berhampiran, seorang wanita bertudung putih didapati memasuki perkarangan rumah datuk mangsa lalu mendekati kanak-kanak berkenaan, seolah-olah bertanyakan sesuatu.

“Dia kemudian membawa kanak-kanak terbabit ke bahu jalan sebelum melambai ke arah beberapa kenderaan dipercayai untuk cuba menumpang.

” Kemudian, seorang penunggang motosikal berhenti dan wanita terbabit kemudian membonceng motosikal berkenaan bersama-sama kanak-kanak terbabit,” katanya.

Kehilangan Haiqal Haqimi Suhini, 7, menjadi viral di pelbagai laman sosial selepas keluarganya memohon bantuan mengesan kanak-kanak berkenaan selepas dilarikan dua individu tidak dikenali ketika sedang leka bermain di perkarangan rumah datuknya kira-kira jam 1 petang kelmarin.

Malah rakaman CCTV tersebut juga diedarkan kepada orang ramai selain dua gambar kanak-kanak terbabit.

Difahamkan, laporan polis dibuat bapanya, Suhini Abdullah, 36, di Balai Polis Gita selepas gagal mengesan anak lelakinya itu, sebelum menyusul laporan kedua pada jam 9.43 malam kelmarin mendakwa kanak-kanak itu diculik berdasarkan salinan rakaman CCTV yang diperolehnya dari Arked Plaza MARA yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Abang Ahmad ketika mengulas lanjut, berkata, ketika kejadian, bapa mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor meninggalkan kanak-kanak itu di rumah datuknya sebelum menghantar ibu mangsa ke klinik kesihatan berhampiran.

“Bagaimanapun, sekembalinya ke rumah berkenaan kira-kira jam 1.40 petang, kanak-kanak berkenaan didapati hilang. Mangsa memakai pakaian sukan berwarna biru muda berkolar hitam dengan tulisan `Manchester City’ serta berseluar sukan sekolah berwarna biru tua ketika hilang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan rakaman visual itu, polis percaya penunggang motosikal terbabit tidak berniat untuk melarikan kanak-kanak berkenaan, sebaliknya sekadar menumpangkannya, begitu juga wanita terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dan melarikan mana-mana individu atau memisahkannya daripada penjaganya yang sah. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru