Sunday, August 14, 2022

3 lelaki bersenjata parang rompak pekerja kedai serbaneka 24 jam

Secara Rawak

KUCHING: Tiga pekerja sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kota Sentosa, di sini berdepan detik cemas apabila dirompak sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang dan pisau dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, perompak terbabit melarikan wang sejumlah RM200, 14 kotak rokok dan dua botol nescafe.

Menurut sumber, tiga lelaki tersebut menggunakan topi keledar berpenutup muka, manakala seorang lagi hanya bertopi dan menutup mulut dengan kain.

“Sekumpulan empat lelaki yang bersenjatakan parang dan pisau masuk dalam kedai dengan seorang daripadanya mengacukan parang ke leher seorang pekerja.

“Seorang pekerja diarahkan membuka peti simpanan wang. Selepas mengambil wang dan rokok, suspek meninggalkan lokasi kejadian.

“Suspek meninggalkan lokasi kejadian menggunakan sebuah Perodua Alza putih. Namun, pekerja itu gagal mengecam nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga pekerja kedai tidak mengalami sebarang kecederaan dan seorang daripadanya menghubungi Balai Polis Kota Sentosa untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Ng Ah Lek berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek dipercayai warga tempatan.
Ng berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru