Tengku Razaleigh: Jangan main politik, dewa-dewakan orang perseorangan

0
21
Gambar fail

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen veteran Umno berkata,  setiap pengamal politik dan Ahli Parlimen berkewajipan untuk tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha menangani perubahan yang diperlukan negara ini.

Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan, tiada siapa yang dapat menuduhnya tidak konsisten berkenaan pendirian terhadap tatacara pemerintahan negara, tanggungjawab awam dan perlunya perubahan.

Malah, menurut beliau, itulah sebenarnya inti pati perjuangannya di peringkat kebangsaan serta dalam Umno sejak tahun 1987.

“Saya konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus konsisten pada hari muka. Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang,” katanya

“Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat,” kata mantan Menteri Kewangan itu dalam satu kenyataan akhbar yang turut dimuat naik dalam Facebooknya, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pelbagai komen oleh rakyat selepas beliau menandatangani Deklarasi Kelantan bersama-sama perwakilan Barisan Nasional diketuai pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa. Gambar acara tersebut dimuat naik Annuar dalam Facebooknya.

Dalam catatan berkaitan, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, Tengku Razaleigh, telah menandatangani deklarasi berkenaan, bermakna beliau memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Tengku Razaleigh, Malaysia sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan kepemimpinan, menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang dahsyat terutamanya berkaitan dengan isu hutang negara.

Katanya: “Ia mengakibatkan beberapa masalah ekonomi serius seperti kenaikan mendadak kos sara hidup yang membawa kesan buruk kepada rakyat.”

Bagi Ahli Parlimen itu, selama ini beliau  sering berpendapat dan mengingatkan sekiranya kita tidak tukar cara berpolitik dan perisian dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis seperti yang berlaku sekarang ini.

“Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapan saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan,” tambahnya.

“Tanpa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li.

Bagi maksud ini dan sebagai pengamal politik, Tengku Razaleigh berkata, beliau bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti. Yang demikian, bagi Tengku Razaleigh, isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekali gus memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul.

Tambahnya lagi, dalam usaha untuk memberi sumbangan berguna dan berfaedah, beliau amat peka dan sedar akan masalah yang dihadapi negara dan keadaan kita yang genting; umpamanya masalah berkaitan dengan hutang negara serta akibatnya, terutamanya kesan terhadap kehidupan seharian rakyat jelata.

“Dalam ucapan saya di Parlimen dan surat saya kepada Ahli-Ahli Parlimen, saya telah mengingatkan akan kesan yang kita rasai sekiranya hutang negara ini tidak ditangani dan diurus dengan penuh tanggungjawab.”

Pemimpin politik veteran itu berkata, “masalah yang kita hadapi ini meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi  dan kedudukan antarabangsa negara. Oleh itu kita hendaklah bijak menyelesainya dalam masa terdekat.” – Sarawakvoice.com