KUALA LUMPUR: Sebanyak RM135.6 juta diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengendalikan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang akan datang

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), jumlah itu agak tinggi berbanding PRN lepas berikutan penambahan jumlah kerusi daripada 71 kepada 82 kerusi, serta kos operasi yang semakin meningkat.

JPM berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) mengenai peruntukan yang akan diberikan kepada SPR untuk PRN Sarawak akan datang.

Jumlah peruntukan yang telah digunakan dalam PRN lepas adalah sebanyak RM79 juta.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 dijangka diadakan pada bila-bila masa susulan penggal Dewan Undangan Negeri semasa akan berakhir menjelang Jun tahun ini.

Sebanyak 1.14 juta pengundi terlibat dalam pelaksanaan demokrasi kali ini berbanding 979 ribu pada 2011.

Daripada jumlah itu, 49.92 peratus adalah lelaki manakala 50.08 peratus adalah perempuan manakala mereka yang berusia 50 tahun ke bawah adalah sekitar 56.4 peratus.

Pilihan raya kali ini melibatkan sebanyak 1,869 pusat mengundi dan 2936 saluran mengundi di seluruh negeri. – Sarawakvoice.com