Sunday, June 26, 2022

Seribu kisah menjelang pilihan raya Sarawak

Secara Rawak

Saat ini pasti ramai yang teruja ternanti-nanti apakah faedah yang bakal diperoleh menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ini?   Apatah lagi bulan Mac akan berakhir beberapa hari sahaja lagi, keterujaan itu sudah pasti mendekati kemuncak cerita.

Adenan Satem sangat popular, tetapi popularitinya belum teruji dalam pilihan raya sama ada mampu diterjemahkan kepada undi atau tidak? Sebahagian nama calon bertanding sudah diumumkan, manakala sebahagian lagi masih menjadi teka-teki.

Banyak bayang-bayang nama yang berkemungkinan mengisi kerusi yang masih kosong, namun tiada kata muktamadnya lagi.    

Kata-kata ‘calon langsung’ pun sering kedengaran di sana sini seolah-olah memberitahu orang awam ada kepincangan yang  berlaku.Nampak seperti suatu keunikan atau keistimewaan tersendiri di Sarawak – berebut tanding atas logo ‘dacing’.  

Seumpama suatu fenomena baharu juga dalam media sosial tiba-tiba hangat membincangkan soal calon dan kerusi panas.

Terdapat facebook page dan forum-forum yang dibuka semata-mata untuk membincangkan isu-isu berkaitan PRN-10 Sarawak ini. Pelbagai reaksi dan komen umpama pisang goreng panas boleh dibaca daripada diskusi awam dalam platform media sosial – mengampu, memuji, mengutuk, mengagung-agungkan, … pendek kata macam-macam ada.

Ada yang emosional, tetapi ramai juga yang memberikan hujah-hujah yang kita pun tidak terfikir yang disampaikan menerusi pelbagai kaedah.  

Ada juga ‘seperti ketam cuba mengajar anaknya berjalan lurus’.

Jangan pedulikan sangat apa yang dibaca – itu semua cetusan rasa di bawah kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Terpulang kepada masing-masing bagaimana mentafsirkan semua itu.

Dua-dua pihak sebenarnya menunjukkan ada simptom perbezaan pendapat yang belum dapat diselesaikan sehingga kini.

Rundingan masih sedang berlangsung.

Ada juga yang telah mengumumkan dirinya sendiri sebagai calon.

Elok juga tukar sahaja kepada formula “free for all” jikalau tidak boleh berpegang kepada prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama – baik dalam barisan mahupun pakatan.

Tidak perlu kerusi ini diperuntukkan kepada parti ini atau kerusi itu kepada parti itu atau lebih di luar jangkaan mahu calon ini dan itu untuk kerusi parti-parti komponen lain.

Makanya bukankah logiknya tidak perlu ada barisan mahupun pakatan yang asasnya adalah untuk bekerjasama atas prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama?

Bagus semua parti bertanding terutamanya hampir semua kerusi ada bahagian parti masing-masing misalnya, bagi kerusi PBB ada bahagian SUPP, SPDP dan PRS, manakala kerusi DAP pun ada PKR dan sebagainya.

Justerum, dalam pilihan raya kali ini sekali lagi dilihat kerjasama dalam barisan mahupun pakatan tanpa sabotaj-mensabotaj akan memainkan peranan penting menentukan kemenangan calon.

Apa-apa pun, siapakah yang akan menang hujung-hujung nanti bergantung kepada kerelevanan calon tersebut kepada rakyat pada pandangan rakyat.

Rakyat, bukan ahli atau parti politik!  Jangan seronok sendiri.

Di lapangan pada sebelah pengundi nampak banyak juga cerita menarik.

Antara yang menarik perhatian, adakah akan berlaku kegiatan judi pilihan raya – tidak kiralah untuk siapa jadi calon mahupun siapa akan menang pada PRN Sarawak kali ini?

Cerita daripada kaki lima dan di kedai kopi ini tidak dapat disahkan kebenarannya meskipun ada yang berpendapat jumlah pertaruhan yang terlalu tinggi dan tidak seimbang dapat mempengaruhi keputusan pilihan raya.  Bagi sesetengah pihak ketibaan pilihan raya bermaksud bertambah rezeki untuk mereka. Ini terutamanya bagi pengusaha-pengusaha penginapan dan makanan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru