KUCHING: Gerakan “Sarawak for Sarawakian” yakin debat awam yang dirancangkannya pada 10 April depan di Dewan Kenyalang Park dekat sini akan mendapat sambutan hangat.

Pengerusinya, Peter John Jaban berkata, pihaknya mendapat maklum balas yang sangat positif, terutama daripada mereka yang akan terlibat dalam debat tersebut.

” Ia adalah debat terbuka yang pertama seumpamanya membabitkan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

” Dan ia menjadi platform kepada mereka untuk menjelaskan apakah perancangan mereka jika muncul sebagai kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

John Jaban menjelaskan, debat yang bertemakan ” Safeguard Sarawak” ini bukan bertujuan untuk kempen-kempen yang negatif.

” Ia harus fokus, tidak membangkitkan isu-isu nasional atau memburuk-burukkan personaliti tertentu,” katanya dalam sidang media di Hotel Telang Usan dekat sini semalam.

Jelas John Jaban, pihaknya telah memanjangkan jemputan kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan berdasarkan maklum balas media, beliau berminat untuk hadir.

Sebanyak tiga parti yang dijemput telah menyatakan persetujuan untuk hadir, manakala wakil parti-parti lain dijangka berbuat demikian dalam masa yang terdekat.

” Mereka (parti politik) perlu mengambil kesempatan ini kerana ia merupakan debat yang terbuka dan profesional.

” Tiada agenda politik, sebaliknya ia adalah anjuran rakyat Sarawak sendiri,” tegas John Jaban lagi.

Katanya, hanya parti-parti yang sah dan mempunyai perwakilan dalam Dewan Undangan Negeri diberi peluang untuk terlibat dengan debat ini, berikutan kekangan masa.

Debat itu katanya, akan memberikan masa selama 10 minit untuk setiap wakil parti membentang hujah mereka manakala lima minit untuk menjawab soalan, serta dua minit untuk melakukan hujah balas.

Proses perdebatan akan dikendalikan oleh moderator yang neutral, Karen Shephard.

Bagi orang ramai yang berhasrat untuk mengikuti debat ini, mereka boleh mendapatkan tiket kemasukan daripada pihak penganjur, jelasnya lagi.