KAHERAH: Sebuah pesawat domestik EgyptAir  MS181 dalam penerbangan dari Iskandariah ke Kaherah dirampas hari ini dan dipaksa  mendarat di Cyprus selepas perampas lelaki menuntut pesawat itu mendarat di Turki atau Cyprus. Cyprus menjadi pilihan kerana jaraknya yang lebih dekat.

Perkembangan terkini sekitar pukul 8.00 malam ini, perampas telah pun ditahan, menurut AFP. Seorang lelaki keluar dari pesawat, dan berjalan dengan kedua-dua belah tangan diangkat, sambil diiringi polis antipengganas. Polis dijangka memasuki pesawat itu sebentar lagi.

Kenyataan media daripada EgyptAir  berkata, terdapat 56 penumpang, 7 anak kapal dan juga seorang anggota keselamatan EgyptAir di atas pesawat itu.

Menurut laporan itu,  difahamkan rampasan berlaku di wilayah maklumat penerbangan Cyprus dan penerbangan itu kemudian dilencongkan dan mendarat di Larnaka, di bahagian selatan pulau tersebut. Lapangan terbang Larnaka ditutup, dengan semua pesawat, termasuk Emirates Airline dilencongkan ke lapangan terbang lain.

Larnaka merupakan kota ketiga paling besar di kepulauan itu selepas Nicosia dan Limassol dengan jumlah penduduk seramai 85,000.

Kejadian ini berlaku selepas pesawat Rusia  dari Sharm El Sheik, Mesir ke St.Petersberg, Rusia dijatuhkan, mengorbankan kesemua 224 orang penumpang dan anak kapal pada 31 Oktober lalu.

Sumber penerbangan awam Mesir dan polis mengesahkan rampasan itu dan melaporkan bahawa seorang lelaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Perampas menghubungi menara kawalan pada jam 8.30 pagi tadi dan pesawat itu diberi kebenaran mendarat 20 minit kemudian.Pihak polis berkata, perampas  tidak membuat sebarang tuntutan selepas pesawat mendarat.

Media melaporkan perampas membebaskan wanita dan kanak-kanak. Presiden Cyprus Nicos Anastasiades berkata, 49 penumpang telah dibebaskan.

Kini, tinggal tujuh orang penumpang lagi di dalam pesawat, termasuk juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang anak kapal.

Terdapat 26 warga asing di atas pesawat, lapan Ameria, empat British, empat Belanda, dua Belgian, dua Greek, seorang warga Perancis, Itali dan Syria masing-masingnya. Tiga lagi belum dikenal pasti, menurut BBC. 

Portal Australia  yang memetik kenyataan Kementerian Luar Mesir menyifatkan “lelaki itu bukan pengganas, tetapi  seorang bahlul.”

“Pengganas memang gila, tetapi mereka tidak bodoh [macam] lelaki ini,” menurut kenyataan kementerian itu.

Tindakan lelaki yang merampas pesawat EgyptAir MS181 bukannya kerana dia seorang pengganas, namun mempunyai motif peribadi, kata laporan itu.

Laporan Bloomberg yang dipetik pelbagai media antarabangsa berkata, motif perampas  adalah  mahu menyampaikan sepucuk surat empat halaman kepada bekas isterinya, seorang rakyat Cyprus yang kini tinggal di Larnaka. 

Namun, ada juga dakwaan beliau mahu menuntut pembebasan seorang tahanan di Mesir.
cyprus larcana map-0000