KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad bekata beliau dimaklumkan ramai ahli dan pemimpin bawahan Umno marah kerana beliau berada bersama pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak .

Baru-baru ini Dr Mahathir berada di atas pentas yang sama dengan pemimpin pembangkang, termasuk Lim Kit untuk menandatangani Deklarasi Rakyat, dan juga perhimpunan Selamatkan Malaysia, di Shah Alam, semalam.

Beliau dikritik pemimpin Umno sebagai tergelincir daripada prinsip perjuangan yang dipegangnya ketika memerintah selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

“Ya, ini memang pelik dan aneh. Kami adalah musuh ketat. Tetapi kami berdua mempunyai pendirian yang sama berkenaan penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri,” kata beliau dalam catatan terbaharu blognya, sejam lalu.

Menurut mantan Perdana Menteri yang dilabelkan diktator oleh sesetengah pihak itu, sepatutnya penyingkiran itu dibuat oleh Umno. Dalam pertandingan antara  beliau dengan Tengku Razaleigh  Hamzah, pada 1987,  ahli dan pemimpin Umno secara terang boleh memihak kepada Tengku Razaleigh.

Dalam persaingan sengit untuk merebut jawatan presiden Umno itu Mahathir menang dengan 43 undi. Meskipun ditekan untuk berundur, negarawan itu, tidak berbuat demikian, berbeza sama sekali dengan pendiriannya kini.

“Saya tidak menakutkan mereka, tidak membuang mereka dari jawatan atau parti. Yang menteri terus jadi menteri, demikian juga ketua bahagian dan perwakilan.Tetapi hari ini kebanyakan ahli dan pemimpin Umno sudah jadi bisu, pekak dan buta. Mereka tahu kesalahan Najib tetapi mereka sokong juga Najib. Walau apa pun kesalahan yang dilakukan oleh Najib mereka tetap sokong,” katanya.

Katanya lagi, “mungkin kerana dedak yang disuap oleh Najib. Shahrir mengaku dia terima RM1 juta dan Ahmad Maslan RM2 juta . Takkan yang lain tidak dapat habuan.

Kerana kepentingan diri dan tamak, Umno tidak akan menjatuhkan Najib. Kerana kepentingan diri, bangsa, negara dan agama juga sanggup dijual. Tidak ada ahli Umno selain daripada beberapa ketua cawangan yang berani menentang Najib. Kalau nak harap Umno jatuhkan Najib, tidak mungkin.”

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata: “Ini bukan Umno lagi. Janganlah berlagak sebagai ahli Umno yang kononnya tidak sanggup melihat saya bersama Kit Siang. Yang tidak sayang Umno ialah kamu sekalian, kamu yang membisu, kamu yang pekak dan buta kerana semua anggota ini sudah ditutup dengan dedak dan lain-lain.”

Kata Dr Mahathir, “Jangan soal saya. Soal diri sendiri. Apakah kamu berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air apabila kamu melindungi perbuatan Najib menghilangkan duit rakyat dan sekarang menjual tanah yang dibeli daripada Kerajaan berharga RM60/- satu kaki per segi dan dijual kepada Tabung Haji dengan harga RM3,500/- satu kaki persegi, mengenakan cukai GST ke atas rakyat?” tanya Mahathir dalam tulisan yang menyengat itu.

Tambahnya, rakyat lebih benci melihat ahli Umno yang menyokong Najib daripada ahli Umno berada di atas pentas bersama Kit Siang untuk menjatuhkan Najib.

“Kami tak makan dedak sesiapa,” kata Dr Mahathir sinis, mengakhiri catatan itu.