Friday, August 19, 2022

Baru Bian terancam di Ba Kelalan, Mutang Tagal dijangka calon BN

Secara Rawak

LAWAS: Kemenangan hanya dengan majoriti 473 undi dalam pilihan raya 2011 meletakkan kedudukan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak bagai telur di hujung tanduk.

Baru Bian
Baru Bian

Baru Bian sedar bahawa berbeza daripada pilihan raya lalu, dengan sentimen memihak kepadanya, kali ini, beliau bakal menghadapi kesukaran mempertahankan kerusi Ba Kelalan.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mahu memastikan peguam terkemuka berkaitan isu Tanah Adat Bumiputera (NCR) itu ditumbangkan dengan apa-apa cara pun di peti undi.

Dalam pilihan raya ke-10, Baru, anak tempatan, memenangi kerusi itu setelah menewaskan Willie Liau dengan majoriti tipis apabila meraih 2,505 undi, berbanding Liau, 2,032 undi.

Kali ini, kedudukannya di kerusi itu dalam bahaya apatah lagi jika calon langsung yang bakal ditampilkan BN seorang yang berpengaruh, terkenal dan mampu menang.

Terdapat beberapa nama calon dari Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), tetapi menurut sumber akar umbi, satu nama yang kini berada di hadapan ialah mantan Ahli Parlimen, Mutang Tagal.

Antara faktor penting yang menentukan kemenangan ialah personaliti dan kedudukan bakal calon dalam masyarakat Orang Ulu di pedalaman itu.

Bagi masyarakat Orang Ulu, mereka mahu calon yang bersih, tanpa terbabit dalam aktiviti minum minuman keras atau berjudi.

Mutang Tagal, bukan daripada SPDP, tetapi kemungkinan beliau bertanding atas tiket SPDP atau sebagai calon langsung tidak dapat diketepikan.

Nelson, setiausaha agung SPDP, digugurkan pada saat-saat akhir pada 2011, dan tempatnya diwakili Willie, satu faktor mengakibatkan kekalahan BN.

Mutang Tagal
Mutang Tagal

Mutang merupakan abang kepada Datuk Dr Judson Tagal, Ahli Dewan Undangan Negeri Ba Kelalan, yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas ketika berlepas dari Bario menuju ke kawasan diwakilinya pada 2004.

Meskipun terdapat sekurang-kurangnya lima nama disebut-sebut di akar umbi, termasuk Willie Liau, Datuk Nelson Balang Ringin, Fabian Sigar, Martin Labo, dan Sam Laya, namun menurut risikan SarawakVoice di akar umbi, masyarakat di sini memihak kepada Mutang.

Mutang mempunyai latar belakang keluarga ternama dan amat berpengaruh, berpengalaman luas sebagai peguam dan Ahli Parlimen (1982-90), apatah lagi beliau dari kelas Lun Do’ atau aristokrat dalam masyarakat Lun Bawang Dua lagi kelas ialah Lun Dat (kelas menengah) dan Demulun atau hamba.

“Mutang merupakan calon yang berpotensi besar untuk mengalahkan Baru Bian. Tidak keterlaluan saya katakan, beliau satu-satunya calon yang dapat menumbangkan Baru,” kata seorang pengundi yang enggan menyatakan namanya.

Usahawan berkelulusan undang-undang dari Universiti Malaya dan mempunyai syarikat guaman di Kuala Lumpur, Kuching dan Miri itu, dikatakan mempunyai rangkaian pengaruh keluarga yang meluas, termasuk dengan keluarga Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, mantan Ahli Parlimen Michael Lisa Kaya, Datuk Racha Umong, dan Datuk Nelson Balang.

Dengan pengundi sebanyak sekitar 7,000 orang, terdiri 70 peratus Lun Bawang, 10 peratus Kedayan/Melayu dan selebihnya Cina dan Iban, kawasan ini bakal menyaksikan pertarungan menarik dalam pilihan raya nanti.

Masyarakat Lun Bawang kebanyakannya ialah petani, dengan tanaman utama ialah kelapa sawit, padi, dan epal.

Mutang, dengan wawasan dan komitmennya, dipercayai dapat mentransformasi kawasan terbabit.

Jika tidak berlaku sabotaj daripada individu yang tidak dipilih, peluang untuk BN memenangi kerusi ini dikatakan cerah. – Sarawakvoice.com

ba kelalan_0000

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru