KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar hari ini mengesahkan sebanyak 87 bot nelayan asing dipercayai dari China, didapati telah keluar dari kawasan perairan negara.

Katanya, tinjauan agensi tersebut mendapati bot-bot berkenaan telah berada kira-kira 145 batu nautika (300 kilometer) dari Beting Patinggi Ali sejak semalam.

halau nelayan

“Hasil tindakan pengawasan serta pemantauan APMM, bot-bot nelayan asing itu telah beredar meninggalkan kawasan perairan negara,” katanya.

Ahmad Puzi berkata, APMM menggunakan lima aset melibatkan empat kapal APMM dan sebuah pesawat Bombardier untuk aktiviti pemantauan tersebut.

Pada 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sekurang-kurangnya 100 kapal dan bot China bersama-sama kapal pengawal pantai negara terbabit dikesan menceroboh kawasan perairan Miri.

Justeru itu beliau memberi peringatan, sesiapa yang masuk ke kawasan Malaysia akan dikenakan tindakan, termasuk melangkaui zon ekonomi eksklusif.

Shahidan berkata, pencerobohan di kawasan Beting Patinggi Ali itu dikesan ketika pesawat Bombardier Agensi Penguatkuasaan Maratim Malaysia (APMM), melakukan pemantauan udara, semalam.

Beberapa bulan lalu, kapal pengawal laut China difahamkan telah menceroboh kawasan di sekitar beting berkenaan yang terletak 84 batu nautika dari Miri. – Sarawakvoice.com