Calon Dun Pakan masih menjadi pertanyaan, lobi-melobi berterusan

0
419

PAKAN: Dalam lawatannya kali kedua ke Pakan dalam tempoh seminggu, Ketua Menteri turut tidak membuat sebarang pengumuman tentang calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya beliau mahu semua sokongan terarah kepada BN dan Tim Adenan, bukan pada parti Teras atau  Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) pada hari penting itu kelak.

“Jika saya pilih (calon dari) SPDP, kamu (Teras) kena sokong BN. Jika saya pilih (calon dari) Teras, SPDP pun kena sokong BN. Ini kerana SPDP dan Teras bersama-sama di bawah lambang BN,” tegasnya.

Tan Sri Adenan Satem berkata sekiranya SPDP dan Teras bersatu pada pilihan raya itu, beliau yakin pembangkang sama ada DAP atau PKR dapat ditewaskan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan sekitar 8,000 penduduk dan pengundi di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, semalam, sebagai sebahagian daripada jelajahan beliau menjelang pilihan raya ke-11.

Pilihan raya dijangka diadakan 7 Mei atau selewat-lewatnya Sabtu, 14 Mei.

Kini, SPDP bedepan masalah perebutan kerusi dengan parti serpihan Teras, termasuk antara lain, di Marudi dan Tasik Biru.

Langkah Pengerusi BN Negeri itu tidak mengumumkan nama calon semalam bagi DUN Pakan jelas memperlihatkan bahawa Mawan tidak akan dicalonkan bagi kerusi itu, dan sekali gus menunjukkan sikap lebih berhati-hati beliau bagi mengelakkan kekusutan yang membelenggu isu pemilihan calon membabitkan SPDP dan Teras bertambah kusut.

Beberapa kali dalam kenyataan media sebelum ini, Mawan membayangkan kesediaannya melepaskan kerusi itu untuk memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen Saratok yang kini disandangnya, sekali gus menggambarkan kesediaannya untuk ke pusat di tengah-tengah spekulasi beliau mahu menyerahkan kerusi berkenaan kepada anaknya, Jakson atau lebih dikenali sebagai Igat untuk mewakili BN.

Penganalisis politik berpendapat, Adenan memerlukan penelitian dan maklum balas yang lebih lanjut bukan sahaja untuk memastikan calon yang ditampilkan menepati kriteria mampu menang, tetapi juga calon yang diterima oleh calon lain yang berpotensi bagi mengelakkan pergeseran dan sabotaj selepas individu terbabit dipilih.

Seperti di kerusi DUN lain, Ketua Menteri mengulangi nasihat agar puak yang betelagah memberi sokongan sebaik sahaja nama calon diumumkan kemudiannya bagi menjamin kemenangan BN.

“Biarlah saya tentukan nama calon demi kemenangan BN, dan berjanjilah bahawa tidak kira sesiapa pun dipilih nanti, sama ada dari SPDP atau Teras, anda perlu sokong calon yang pakai simbol dacing,” tambahnya.

Pada PRN Ke-10, kerusi DUN Pakan dimenangi BN menerusi Tan Sri William Mawan Ikom yang ketika itu Presiden SPDP.

Beliau menang dengan majoriti 1,197 undi menewaskan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Jamal Abdullah @ Tedong Gunda yang mengutip 2,741 undi.

Bagaimanapun, berikutan masalah dalaman, Mawan mengumumkan keluar daripada SPDP pada 15 Mei 2014 dan mengetuai parti baharu, Teras. – Sarawakvoice.com