65 terkorban, 200 cedera terkena ledakan bom oleh pengebom berani mati di Pakistan

ISLAMABAD: Dalam satu lagi kejutan selepas  ledakan bom di Brussels, sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh dan 150 lagi cedera apabila pengebom berani mati meledakkan diri di dalam taman dipenuhi kanak-kanak di Lahore, Ahad, menurut polis.

gulshan park map-0000

Ketika berita ini ditulis pada pukul 1.00 pagi tadi, angka mereka yang cedera sudah meningkat kepada 200 orang, mengikut laporan KTLA 5.

Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Nawaz Sharif, mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu.

Berdasarkan video melalui Youtube, orang ramai kelihatan panik, dan bertempiaran lari, dengan sebahagiannya, termasuk kanak-kanak dan wanita menangis.

Dilaporkan banyak yang cedera parah, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan anggota keluarga dan pihak berkuasa, bahawa angka kematian akan meningkat.

“Banyak yang cedera adalah dalam keadaan serius,” kata ABC, memetik seorang pegawai kesihatan tempatan.

Memetik seorang saksi yang tidak dinamakan oleh Geo TV, saksi itu berkata, beliau bersama isterinya dan dua anak mereka sedang menuju ke arah kawasan permainan, apabila ledakan dan bunyi dentuman berlaku, menyebabkan mereka terpelanting.

Gambar TV tempatan turut menunjukkan wanita lari menyelamatkan anak-anak mereka ke hospital, sementara ramai lagi dikejarkan ke hospital oleh ambulans. Ada kanak-kanak yang terpisah daripada ibu mereka dalam keadaan kelam-kabut itu. Semua hospital di kota itu diletakkan dalam keadaan kecemasan bagi membolehkannya memberi rawatan kepada mereka yang cedera.

Menurut  The Wall Street Journal (WSJ), ledakan bom itu berlaku di kawasan tempat kanak-kanak bermain ayunan di Taman Gulshan-e-Iqbal, Lahore.

Lahore, ibu negara Pakistan, terletak di wilayah Punjab, dan merupakan bandar kedua terbesar Pakistan. Kejadian semalam membuktikan konflik di negara itu masih belum selesai.

“Kami seolah-olah seperti dalam perang,” kata seorang pegawai polis yang dipetik akhbar itu. Kejadian itu mengorbankan kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdosa, katanya.

Ledakan itu berlaku di pintu utama taman berkenaan dengan darah serta bahagian badan bersepahan kelihatan di kawasan berkenaan.