KABONG: Bukan hanya  nama calon kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong difahamkan bakal diumumkan Ketua Menteri petang ini, tetapi juga calon kerusi DUN Kalaka.

Abdul Wahab Aziz
Abdul Wahab Aziz

Pada pertengahan tahun lalu, tersebar berita bahawa penyandang kerusi Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz, 68, kemungkinan besar berundur bagi memberi laluan kepada penggantinya.

Pada awal Disember Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, beliau menyerahkan kepada Tan Sri Adenan Satem untuk melakarkan nasib masa depan politiknya, kerana tidak mahu dianggap tamak kuasa dalam politik.

“Saya serahkan kepada beliau untuk buat keputusan sebab beliau presiden parti.Bukan bermakna saya akan berundur, meskipun hakikatnya saya masih mendapat sokongan kuat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sambil menegaskan bahawa beliau percaya masih dapat mempertahankan kerusi itu daripada jatuh ke tangan pembangkang, jika diberi peluang, Wahab Aziz berkata kalau kepemimpinan parti tidak percaya kepadanya, tidak mungkin tugas penyelaras PBB kerusi baharu Kabong diserahkan kepadanya.

Dun Kabong merupakan kerusi terbaharu dalam Parlimen Saratok, selain Dun Kalaka dan Dun Krian. Kalaka mempunya 17,000 pengundi, dan dengan kewujudan kerusi baharu itu, ia kini mempunyai hanya 8,000 pengundi, berbanding Kabong 9,000 pengundi. Pengundi Kabong mahu diwakili calon  tempatan. 

Wahab Aziz yang  memenangi lebih 5,000 undi majoriti dalam empat pilihan raya, jika bertanding lagi dalam pilihan raya negeri ke-11 nanti, bermakna menjadi Adun kawasan itu untuk enam penggal.

Beliau yang memperoleh ijazah sarjana dalam bidang sains politik daripada Kent University, United Kingdom, pernah menang tanpa bertanding bagi kerusi itu.

Menurut sumber, Adenan dijangka mengumumkan nama calon tersebut dalam kunjungan yang turut diselitkan dengan majlis pelepasan larian baton SUKMA.

Pada PRN2011, Wahab Aziz menang selesa di Dun Kabong apabila mencatatkan majoriti 5170 undi. Beliau memperoleh 6,885 undi menewaskan Ismail Hussein yang mendapat 1665 undi, sementara calon PKR, Md Yahya Abdullah mendapat 1511 undi.

Dijangka turut hadir di majlis petang Ahad ialah Wahab Aziz yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak.

Sebelum membabitkan diri dalam bidang politik pada 1987, Wahab Aziz yang pernah menjadi pegawai daerah, dan pelbagai jawatan kanan dalam kerajaan.

Pilihan raya negeri 1987 yang diadakan secara mengejut itu diadakan selepas tercetusnya gelora politik Ming Court apabila kumpulan diterajui mantan Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Rahman Yakub menentang Barisan Nasional diterajui Tun Abdul Taib Mahmud. BN menang 28 kerusi daripada 48 kerusi dipertandingkan.

Namun  mewakili PBB di kerusi Kalaka, Wahab Aziz, tewas di tangan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abang Yusuf Puteh. Kekalahan itu tidak mematahkan semangat beliau untuk berundur.

Sebaliknya dengan komitmen dan semangat jitu beliau bekerja kuat untuk mengembalikan keyakinan pengundi kepada PBB.

Wahab Aziz menang dalam pilihan raya negeri seterusnya, dan dapat bertahan kerana sikap merendah diri dan faktor sentuhan kerakyatan dimilikinya, sehingga disenangi pengundi. – Sarawakvoice.com