LUNDU: Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Fazzruddin Abdul Rahman hari ini dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengumuman mengenainya dilakukan oleh Pengerusi BN negeri, Tan Sri Adenan Satem hari ini sewaktu merasmikan Program Armada Pemuda PBB Juh Kamboh Bersama Tok Nan di Stadium Mini Lundu, dekat sini.

Fazzruddin, 41, yang merupakan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda PBB Negeri merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Fadillah sebelum beliau dilantik menteri penuh.

Ketua Menteri berkata, Fazzrudin merupakan antara tiga calon muka baru daripada sayap Pemuda PBB yang dipilih mengibar bendera BN.

“Pergerakan Pemuda pada kali ini akan mencalonkan sekurang-kurangnya tiga calon yang mewakili PBB.

“Salah seorang daripadanya ialah saudara Fazzrudin yang akan menggantikan Datuk Daud Abdul Rahman di Tupong.

Selain Fazzrudin, pergerakan itu akan turut diwakili Timbalan Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu di kawasan DUN Layar manakala pencalonan Allan Siden Gramong di DUN Machan telah diumumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr Stephen Rundi Ukom, dua bulan lalu.

dun tupong fazzrudinSebelum ini Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman mengesahkan keputusan beliau melepaskan jawatan dan berundur dari arena politik adalah atas kerelaannya sendiri, bukan tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

Beliau menyatakan hasrat tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong disandangnya sejak lima penggal lalu dalam pilihan raya negeri kali ini kerana masalah kesihatan serta ingin memberi peluang kepada muka baharu.

” Selama 25 tahun saya menjadi wakil rakyat, bermula dari era Tupong adalah kawasan DUN baharu ketika itu. Ia bukanlah satu tempoh masa singkat… tiba masanya kita harus memberi peluang kepada muka baharu yang lebih muda untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan ini.

Pada pilihan raya negeri 2011, Daud memenangi DUN Tupong dengan majoriti 4,551 undi setelah mengutip 8,304 undi bagi menewaskan Baharuddin @ Din Shah Mokhsen daripada Parti Keadilan Rakyat yang mencatat 3,753 undi.

Pada penghujung tahun lalu, Daud yang pernah diserang sakit jantung diserang stroke ringan, yang menyebabkan pertuturannya sedikit terganggu.

Beliau yang akan memberikan tumpuan kepada aktiviti kebajikan selepas ini bagaimanapun kini semakin pulih, setelah menjalani terapi agresif sejak beberapa bulan lalu. – Sarawakvoice.com