SIBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan akan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap kemudahan kebajikan pegawai dan anggota tentera di seluruh negara.

Berucap sewaktu menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Oya, dekat sini petang tadi, beliau memberi jaminan bahawa inisiatif kebajikan ini akan terus dilaksanakan.

“‘ Tentera Benteng Pertahanan Negara’ bukan sekadar retorik politik semata-mata. Sebaliknya ia turut diterjemahkan melalui pelbagai inisiaitif untuk menjaga kebajikan warga ATM serta keluarga mereka.

Tegasnya, beliau memahami perasaan setiap anggota tentera yang hendak berjuang tetapi bimbang akan nasib isteri dan anak-anak yang ditinggalkan tidak terbela.

” Saya percaya kalau kita mahukan anggota bersemangat mempertahan negara, kerajaan perlu pastikan keluarga dan anggota tentera terbela dan kebajikan mereka ini harus diberi keutamaan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Najib turut mengotakan janjinya minggu lalu melancarkan perkhidmatan bas sekolah ATM bagi menggantikan feri sekolah yang menggunakan trak tiga tan sebelum ini.

Penggunaan bas yang lebih selamat ini melibatkan penyediaan 176 bas sekolah, yang akan memberi manfaat kepada 11,725 anak tentera di 76 kem di seluruh negara.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM500 ribu untuk projek naik taraf kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu, Kem Oya yang kini memuatkan 401 murid, termasuk prasekolah.

Sementara itu, di Selangau, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa rakyat negara ini akan terus menikmati kemajuan dan kemakmuran di bawah kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

” Bukti kemakmuran ini dibuktikan oleh konsep kehidupan di rumah panjang yang masih diamalkan di negeri ini.

“Kerajaan BN sama konsepnya dengan rumah panjang, yang sangat menitikberatkan semangat setia kawan dan budaya penyatuan,” katanya ketika melakukan kunjung mesra ke Rumah Panjang Andrewson Ngalai Ason di Skim Penempatan Semula Sekuau.

Andrewson Ngalai merupakan komposer dan penyanyi lagu Iban terkenal yang mencipta lagu Bekikis Bulu Betis.

Mengulas akan konsep tersebut, Najib berkata, seperti kehidupan di rumah panjang, sebuah kerajaan yang cukup utuh, sama ada kerajaan negeri ataupun Kerajaan Persekutuan dapat dibentuk walaupun dari kalangan parti komponen berbeza.

“Kita bersatu…saling bertoleransi dan bersepakat dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat.

” Kita datang dari parti yang lain-lain, tetapi tetap berkongsi kuasa, aspirasi dan bekerjasama.

Dalam lawatan tersebut, Najib turut merakamkan kekagumannya terhadap reka bentuk rumah panjang moden yang disifatnya begitu menarik.

“Ia lebih berbentuk seperti kompleks perumahan teres yang moden. Namun, semangat tradisinya…. kepanjangannya masih kekal utuh. Ini yang kita mahukan dalam BN…. semangat setiakawan dan budaya penyatuan yang kita bentuk secara tradisinya…. yang menjadi asas kekuatan kita terus dikekalkan,” katanya.

Pada majlis tersebut, Najib turut mengumumkan seorang jurutera, Christopher Gira sebagai calon baharu DUN Tamin.

Beliau akan menggantikan Datuk Joseph Mauh, 64 tahun, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk berundur dari arena politik.

Pada pilihan raya lalu, Mauh memperoleh 4,998 undi untuk mempertahan kerusi yang disandangnya, meninggalkan Mengga Anak Mikui daripada PKR yang sekadar memperoleh 3,706 undi.

Mauh merupakah Ahli Parlimen Selangau selama tiga penggal bermula 1990 sebelum memberi laluan kepada Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Entulu Blaun.

Beliau kemudiannya bertanding di DUN Tamin sejak 2006 dan mengekalkan kedudukan kerusi itu sehingga mengumumkan persaraan, selepas 25 tahun menghambakan diri kepada politik. – Sarawakvoice.com