KUCHING: Hasil pembalakan memberi sumbangan penting kepada Kerajaan Negeri, dengan pendapatan sebanyak RM617.36 juta pada 2015, selain memberi peluang pekerjaan kepada 240,000 orang di negeri ini, dengan 90,000 secara langsung, dan 150,000 secara tidak langsung dalam industri pembalakan.

Hasil produk balak turut menyumbang sebanyak RM6.57 juta.

Bagaimanapun, menyedari pentingnya memelihara anugerah Tuhan kepada manusia, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri beriltizam mengekalkan enam juta hektar kawasan di negeri ini sebagai Kawasan Hutan Kekal, dan sejuta lagi sebagai Kawasan Hutan Dilindungi secara menyeluruh.

Tan Sri Adenan  Satem dalam ucapannya  pada Hari Hutan Antarabangsa, di sini semalam  memberi jaminan, di bawah kepemimpinannya, beliau akan berusaha melindungi hutan negeri, dan memastikan segala sumber alam diurus secara lestari, sejajar dengan piawaian International Tropical Timber Organisation dan Food and Agriculture Organisation.

Jika tindakan drastik diambil terhadap aktiviti pembalakan haram, ia akan memberi kesan besar kepada sosioekonomi keluarga pekerja dalam industri berkenaan, kata Ketua Menteri lagi.

Dalam satu wawancara, Adenan mengakui wujud unsur rasuah dalam industri pembalakan, maka untuk menyekatnya, beliau menghentikan pemberian konsesi. “Tidak akan ada lagi konsesi balak secara komersial, kecuali bagi tebus guna tanah untuk pertanian seperti skim Felcra atau skim Felda dan sebagainya, tetapi, pembalakan secara komersial sudah tidak ada lagi. Sebab, itulah yang merupakan lubuk rasuah,” katanya.

Industri berkaitan pembalakan telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak, dengan berlaku kerancakan pertumbuhan pada dekad 1970-an dan 1980-an, sehingga bandar seperti Sibu dan Kapit, hidup dengan pelbagai aktiviti.

Kempen terhadap pembalakan haram telah mendatangkan kesan positif, dengan jumlah kes disiasat pada 2015 berkurangan kepada  208 kes berbanding 241 kes pada tahun sebelumnya.

Jumlah balak dirampas pada 2015 pula ialah  47,060  meter padu berbanding, berbanding  90,873  meter padu pada  2014. Sebanyak 27 suspek ditahan berkaitan kesalahan  berkenaan pada 2015.

Sebanyak 33 kilang papan turut menghentikan operasinya, kata Adenan dalam satu kenyataan awal bulan ini.

Sejak mengambil alih kepemimpinan negeri, Adenan dianggap komited dalam memelihara dan melindungi sumber alam berkenaan.

Pemimpin pembangkang, Chong Chien Jen, mendakwa sekitar 3.7 juta hektar (9.2 juta ekar) kawasan balak diagihkan kepada enam syarikat  di Sarawak sebelum ini. Menurut beliau, hanya terdapat 5 juta hektar hutan untuk pengeluaran balak, dan daripada jumlah itu, 70 peratus telah diberi kepada syarikat terbabit.

Pegawai daripada pengurusan tertinggi enam syarikat terbabit turut hadir dalam majlis semalam. – Sarawakvoice.com