KABONG – Siri kunjungan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem ke sini pada Ahad,27 Mac (hari ini) tersirat dengan dua misi perang dan gempur yang berbeza.

Misi pertama Adenan akan mengumumkan nama calon untuk menawan dan mengekalkan cengkaman BN di kawasan DUN N.40 Kabong.

Apa yang pasti calon yang bakal diumumkan adalah seorang anak tempatan dan berwibawa yang telah disaring dengan cukup teliti oleh pasukan khas PBB yang dipertanggungjawab memilih calon berpotensi dan boleh menang.

Misi kedua pula, Adenan akan melepaskan peserta larian baton bersempena SUKMA yang akan berlangsung di Sarawak bulan Julai nanti.

Sesi pelepasan peserta dijadual berlangsung di pekarangan pasar Kabong kira-kira jam 4.30 petang sebaik selesai majlis di Dewan Polis.

Dalam misi ini, Adenan pastinya mengharapkan peserta Bumi Kenyalang akan bertarung dengan penuh semangat bagi memastikan gelaran juara SUKMA akan menjadi milik Sarawak pada edisi kali ini.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah ialah pada 1990 dan muncul juara SUKMA pada edisi tersebut.

Sarawak muncul juara tiga kali berturut-turut pada tahun 1990,1992 dan yang terakhir 1994.

Berdasarkan program tentatif  yang diedarkan pihak pejabat daerah, helikopter yang membawa Adenan dijangka tiba jam 3 petang dan akan mendarat di padang bola sepak baharu berdekatan dengan pejabat daerah di sini.

Adenan sekali lagi merekod sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin pertama mendarat di padang tersebut yang pembinaannya siap sepenuhnya Februari lalu.

Sebaik tiba Adenan akan dibawa terus ke Pejabat Daerah Kabong untuk berehat seketika dan kemudiannya mengadakan perjumpaan dengan protem PBB N. 40 Kabong serta ketua-ketua ranting PBB.

Sebaik selesai sesi tersebut Adenan akan dibawa bergerak ke Dewan Polis Kabong untuk bersama penduduk dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.

Sumber terdekat PBB di Kuching memberitahu Adenan akan melakukan pengumuman nama calon untuk DUN N.40 Kabong dan N.38 Kalaka di majlis berkenaan.

Lebih 3000 penduduk sekitar dijangka hadir dalam majlis itu. – Sarawakvoice.com