Bahana surat layang di sebalik persaingan sengit calon Dun Kabong, Adenan umum calon esok

KABONG: Kunjungan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem ke Kabong esok mungkin akan membawa perkhabaran yang menjawab siapa bakal calon Barisan Nasional (BN)-PBB bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N40 Kabong.

Ia pilihan raya pertama Dun ini, justeru tidak hairanlah sejak beberapa bulan lalu, banyak nama mula dikaitkan sebagai menawarkan diri untuk menjadi calon.

Malah untuk seketika, perebutan dikatakan terlalu sengit dan ada wakil calon sehingga menerbitkan serta mengedarkan surat layang dan surat palsu.

Sebelum ini nama Speaker Dun Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar hangat diperkata berpotensi sebagai calon sulung DUN baharu itu.

Namun  akhir-akhir ini nama Asfia mula tenggelam dan beberapa nama calon berpotensi anak tempatan mula mengisi tempat.

Antaranya termasuklah Mohd Chee Kadir, Dirwana Azool, Dr. Haji Rossana Bolhassan, Kamaluddin Haji Alkap, Haji Olen Tabur dan Abdullah Sulaiman.

Kesemua enam calon berpotensi adalah anak tempatan dengan  masing-masing mempunyai kelebihan.

Dirwana Azool kini bertugas sebagai Pengarah Perpaduan  dan Integrasi Nasional Sarawak.

Mohd Chee Kadir pula adalah Timbalan Walikota Miri, manakala Dr.Haji Rossana adalah Pensyarah di Institut Perguruan Batu Lintang Kuching.

Kamaluddin Haji Alkap pula bertugas sebagai Pegawai Daerah Kabong manakala Haji Olen Tabor pula bertugas sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Rajang Bintangor.

Calon berpotensi termuda, Abdullah Sulaiman, 47 tahun, pula merupakan seorang pengurus kewangan di salah sebuah syarikat ternama di Kuching.

Kunjungan Adenan pasti ditunggu penuh debar bukan sahaja oleh enam calon berpotensi ini malah oleh penduduk di Dun N40 Kabong sendiri.

Menurut sumber, Adenan dijangka mengumumkan nama calon tersebut dalam kunjungan yang turut diselitkan dengan majlis pelepasan larian baton SUKMA.

Dijangka turut hadir ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, yang dikhabarkan akan mempertahankan Dun N38 Kalaka.

Dun Kabong merupakan kerusi terbaharu dalam Parlimen Saratok, selain Dun Kalaka dan Dun Krian.

Pada PRN2010, Datuk Abdul Wahab Aziz menang selesa di Dun Kabong apabila berjaya mencatatkan majoriti 5170 undi.

Beliau memperoleh 6885 undi menewaskan Ismail Hussein (1665 undi) dan calon PKR, Md Yahya Abdullah (1511 undi).

Di Dun Krian, Ali Biju (PKR) menjadi “giant killer” apabila menewaskan calon veteran, Datuk Peter Nyarok (BN) dengan majoriti 2090 undi. Beliau memperoleh 5178 undi manakala Peter Nyarok 3088 undi. Dua calon yang hilang deposit ialah Liman Sujang (SNAP) 126 undi dan Banyi Beriak, 125 undi. – Sarawakvoice.com

kabong-0000