GEORGETOWN: Dalam kerjaya politiknya, Lim Guan Eng terkenal sebagai pemimpin pembangkang yang lantang dan sering mendedahkan salah guna kuasa dan rasuah yang menggemparkan dalam kalangan pemimpin kerajaan.

Kali ini giliran Ketua Menteri itu pula menjadi sasaran kritikan dan pendedahan pemimpin Barisan Nasional sehingga sedikit banyak mencalar citra dan reputasinya.

Menyedari keseriusan isu terbabit, satu mesyuarat tergempar berkaitan isu itu diadakan di sini semalam.

Difahamkan semua wakil rakyat DAP dijemput, dalam usaha yang dilihat cuba meleraikan kekusutan berkaitan isu kontroversi itu. Setakat ini, Lim dan DAP bersikap defensif kerana kritikan bertali arus daripada pemimpin BN, termasuk di Parlimen.

Penasihat undang-undang DAP  yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hadir untuk memberi penjelasan bagaimana tangani isu berkaitan, terutama berkenaan apa yang boleh dan tidak boleh diperkatakan.

Puncanya, banglo yang dibeli dengan harga RM2.8 juta itu dikatakan dibeli di bawah harga pasaran sebenar.

Adakah terdapat kes salah guna kuasa dan rasuah, serta kongkalikung di belakang tabir?

Hakikatnya menurut Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta, hartanah di kawasan Jalan Pinhorn, lokasi banglo Lim,  dijual pada harga RM2.8 juta hingga RM3.6 juta pada 2014 dan 2015.

Rumah kediamannya pernah dilemparkan bom buatan sendiri pada akhir Ogos 2014.

Bungalow Guan EngBererti banglo berkeluasan 10,161 kaki persegi  itu pasti melebihi  RM2.8 juta. Nilai semasa hartanah di sekitar kawasan Green Lane di sini dianggar bernilai RM400 hingga lebih RM900 sekaki persegi, bergantung kepada keadaan rumah.   Bernama yang membuat tinjauan di sekitar kawasan itu, termasuk  di Jalan Cheeseman, Halaman Free School, Jalan Pinhorn dan Jalan Masjid Negeri mendapati kebanyakan rumah dengan keluasan antara 3,000 dan 6,000 kaki persegi ditawarkan pada harga RM1.6 juta hingga lebih RM5.6 juta.  

“Jika dibahagikan mengikut kaki persegi, banglo itu dijual dengan harga RM276 sekaki persegi, sedangkan harga semasa yang ditawarkan melalui laman web mudah.my untuk banglo berkembar setingkat atau rumah berkembar dua tingkat di kawasan itu ialah antara RM400 hingga lebih RM900 sekaki persegi bergantung kepada keadaan rumah yang ingin dijual itu,” kata Bernama lagi.   

Berdasarkan harga RM400 bagi satu kaki persegi yang ditawarkan melalui iklan di laman web itu, sebuah rumah banglo dengan keluasan lebih 10,000 kaki persegi akan bernilai lebih RM4 juta.    

Sebuah banglo berkembar setingkat di Jalan Pinhorn dengan keluasan 3,445 kaki persegi diiklankan di laman web hartanah dengan harga RM1.6 juta manakala rumah berkembar dua tingkat di Jalan Cheeseman dengan keluasan 6,257 kaki persegi pula ditawarkan pada harga RM2.2 juta.    

Sebuah banglo dua tingkat dengan keluasan 4,219 kaki persegi di halaman Free School pula mahu dijual pada harga RM3.15 juta.

Setiausaha Agung DAP  itu dalam sidang media beberapa hari lalu, mengaku membeli sebuah banglo bernilai RM2.8 juta dengan RM700,000 dibayar tunai, dan  selebihnya melalui pinjaman banyak sebanyak RM2.1 juta.  Pembelian itu bagi Lim  tidak salah dan mengumpamakan kontrak tersebut seperti ‘perkahwinan’.

Dalam mempertahankan pembelian itu, beliau berkata: “Ini adalah transaksi bebas dan rela hati antara saya dan penjual berasaskan dasar kesanggupan secara rela hati pembeli dan penjual. Penjual merupakan individu persendirian melalui sub jualan, dan bukan merupakan pemaju perumahan.”

Mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, juga terjebak dalam kes berkaitan pembelian banglo. Kini beliau disumbat 12 bulan bulan dalam penjara. Apa bezanya kes Lim dengan Khir Toyo?  Persoalan yang membelit Lim berkaitan dengan isu, mengapa banglo itu dibeli dengan nilai yang dua tiga kali ganda lebih murah daripada nilai pasaran?

Lim turut berkata tanah di Taman Manggis telah dijual melalui tender terbuka dan ia telah dijual kepada sebuah syarikat dan bukan kepada penjual rumah banglonya itu iaitu Phang Li Koon. Pemuda BN menuduh Lim merampas tanah untuk orang miskin.

Namun,  Lim  tidak menyatakan bahawa pembeli tanah itu ialah rakan perniagaan rapat dengan pemilik syarikat yang membeli tanah di Taman Manggis itu. Tidakkah timbul konflik kepentingan?

Dokumen berkaitan rumah beliau telah disebar dengan meluas dalam internet dan media sosial. Lim beberapa hari lalu turut membawa 30 wartawan media meninjau kediamannya itu pada 20 Mac lalu. Usaha itu dilihat bertujuan menangkis fitnah terhadapnya.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, dia adalah satu-satunya Ketua Menteri yang berani bertindak demikian dan tindakan itu dilihat pertama kali dibuat oleh seorang pemimpin negeri.

“Saya tidak tahu sama ada tindakan saya ini akan menjadi amalan kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri lain. Adakah mereka berani dan cukup telus untuk buat apa yang saya lakukan hari ini?,” tanya beliau. Yang turut mengiringi beliau, ialah isterinya Betty Chew, dalam usaha untuk membuktikan ketelusan dan akauntabiliti yang menjadi dasar kerajaan pimpinannya.

“Rumah ini rumah biasa sahaja berbanding rumah pemimpin lain. Saya tidak faham mengapa pembelian rumah ini menjadi isu besar dan saya yakin, ia adalah fitnah ke atas saya,” katanya.

Rumah Lim memang tidak ada kolam renang dan jejeran kereta mewah seperti didapati di halaman rumah mewah sesetengah pemimpin lain.

Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, berkata beliau bangga dengan sikap berani Guan Eng merelakan pihak berkuasa SPRM melakukan siasatan, selain mengundang pihak media untuk melihat sendiri kediaman peribadinya tanpa perlu menyembunyikan apa-apa, lapor portal Roketkini. Lim bersedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi itu dikatakan akan menyiasat Lim minggu depan.

Banglo Lim menjadi kontroversi dan dianggap sebagai skandal, sesudah Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Umno) Datuk Shabudin Yahaya mendedahkannya di Parlimen.

“Saya juga menyeru supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Barisan Nasional memberi peluang kepada media massa, termasuk portal berita dan media alternatif, untuk melawat kediaman peribadi masing-masing bagi membuktikan ketelusan mereka,” katanya.

lim guan eng 2Dalam satu kenyataan media, Ketua Menteri Pulau Pinang, hari ini berkata, kenyataan dalam media arus perdana bahawa dia tidak mengetahui nilai rumahnya adalah berkait pembohongan Umno yang nilainya ialah RM6.5 juta

“Satu lagi pembohongan BN ialah kenyataan bahawa saya kononnya tidak tahu nilai rumah saya sedangkan saya telah menandatangani perjanjian jual beli dan membayar duti setem. Saya telah menjawab soalan samada rumah saya berharga RM6.5 juta seperti yang didakwa Umno. Saya dengan jujur berkata bahawa saya tidak tahu rumah saya bernilai RM6.5 juta kerana saya Ketua Menteri dan bukan ejen hartanah,” katanya.

Lim berkata, jawapan beliau merujuk penipuan RM6.5 juta oleh Umno turut diletak di muka depan akhbar nasional, namun tetap diputar belit.

Katanya:  “BN sedang cuba membandingkan saya dengan kes rasuah bekas menteri besar Selangor Dr Khir Toyo, bahawa pembelian rumah saya adalah berkait tuan punya rumah tersebut mendapat manfaat daripada penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis kepada sebuah syarikat, KLIDC. “

Tuan rumah tersebut, menurut Lim, telah menyatakan bahawa beliau menjual rumah itu kepadanya atas kerelaannya sendiri. BN tidak menghiraukan bahawa penjualan tanah kepada  Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) dilakukan secara tender terbuka, dan tuan rumahnya bukanlah pengarah atau pemegang saham KLIDC. KLIDC juga bukanlah anak syarikat kepada mana-mana syarikat tuannya.

Atas sebab ini, kata Lim kerajaan negeri dan dirinya  tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan oleh SPRM, yang telah melawat pejabat saya semalam,” tegas Lim lagi.

“Namun walaupun kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang melaksanakan ketelusan dan akauntaubiliti di tahap yang paling tinggi, BN akan boleh mengubah hitam menjadi putih dan putih menjadi hitam,” katanya.

“Adakah pemimpin BN akan melakukan seperti yang telah saya lakukan, dengan menjemput media ke rumah, melakukan pengisytiharan harta dan menampilkan siapakah penderma RM2.6 bilion?” tanya beliau. – Sarawakvoice.com