KUCHING: Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak, hari ini mengesahkan bahawa pihaknya telah diarahkan untuk memantau aktiviti kapal-kapal China di perairanan Miri.

Menurut pegawai medianya, Leftenan Madya Maritim Muhammad Hainizam Mohd Jamil, APMM telah mengaturgerakkan tiga buah aset dengan kekuatan lebih 70 pegawai dan anggota bagi melaksanakan pemantauan tersebut.

Aset yang diaturgerakkan termasuklah KM Adil, KM Stapa dan KM Siakap.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sekurang-kurangnya 100 kapal dan bot China bersama-sama kapal pengawal pantai negara terbabit dikesan menceroboh kawasan perairan Miri.

Justeru itu beliau memberi peringatan, sesiapa yang masuk ke kawasan Malaysia akan dikenakan tindakan, termasuk melangkaui zon ekonomi eksklusif.

Shahidan berkata, pencerobohan di kawasan Beting Patinggi Ali itu, dikesan ketika pesawat Bombardier Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), melakukan pemantauan udara, semalam.

Beberapa bulan lalu, kapal pengawal laut China difahamkan telah menceroboh kawasan di sekitar beting berkenaan yang terletak 84 batu nautika dari Miri. – Sarawakvoice.com