PETRAJAYA: Kerajaan akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana di negara ini walaupun bahasa Inggeris dan bahasa lain diberi ruang dalam sistem pelajaran teras negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga tidak berganjak untuk terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi pendidikan di negara ini di semua peringkat.

Katanya, usaha memartabatkan bahasa Melayu agar terus berkembang memerlukan perancangan yang tepat dan rapi serta menuntut masa yang panjang.

“Usaha ini juga memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam kalangan kita, apalagi yang telah diberi tanggungjawab khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Malam Kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016, di Putrajaya semalam.

Justeru, Najib menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempergiatkan kerjasama dengan beberapa institusi di luar negara dalam usaha mengembang dan memantapkan dunia keilmuan tamadun Melayu dan bahasa Melayu.

Najib berkata kerajaan telah menubuhkan beberapa Kursi Pengajian Melayu di universiti di luar negara sebagai usaha kerjasama bagi mengkaji pendekatan lain untuk memperluaskan penggunaan bahasa Melayu ke negara asing.

Katanya usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia memerlukan inisiatif dan prakarsa yang bersepadu serta inklusif.

Sehubungan itu, Najib menegaskan para pengamal bahasa Melayu harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dan agensinya untuk memperkasakan bahasa Melayu kepada masyarakat antarabangsa.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, Perdana Menteri berkata: “Kita harus bijak menggunakan segenap ruang dan peluang yang ada untuk sama-sama memperluas bahasa Melayu kepada masyarakat bukan penuturnya supaya bahasa Melayu dilihat dominan dan relevan untuk sepanjang zaman.”

Menurut beliau, bahasa Melayu telah pun diangkat sebagai satu daripada 10 bahasa utama dunia, dengan angka melebihi 300 juta orang penutur dan bahasa Melayu diberikan darjat yang tinggi sebagai bahasa kelima terbesar di dunia.

Mengenai pertandingan tersebut, Najib berkata ia bukanlah hanya berbentuk pertandingan semata-mata, bahkan ia adalah asas yang kukuh untuk menjadikan bahasa Melayu bertaraf dunia supaya berkembang subur seiring dengan zaman.

“Sememangnya Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini bukanlah semata-mata mencari siapa yang paling petah berbicara, malah bukan juga untuk menjana keuntungan jika memenanginya.

“Akan tetapi, ini merupakan salah satu wadah terbaik untuk kita memperkenalkan intipati bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri,” katanya.-Bernama