KUCHING: Seorang lelaki pekerja kilang papan ditemui mati di ruang tamu rumahnya di rumah pekerja kilang di Demak Laut di sini, petang tadi.
Mayat Edward Linggau, 40-an ditemui jirannya kira-kira jam 3 petang.
Menurut sumber, mayat mangsa ditemui terbaring di ruang tamu rumah dan jirannya itu segera memaklumkan kepada penyelia kilang sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa dikatakan cedera kerana tangan kanannya tersepit dalam mesin ketika bekerja tetapi dia sudah mendapatkan rawatan di klinik.
“Namun, sejak semalam lelaki itu tidak pergi kerja dan rakannya menyangkakan dia cuti sakit.
“Isteri mangsa gagal menghubunginya sejak pagi tadi dan meminta jiran memeriksa keadaan suaminya. Pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Mayat dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. – Sarawakvoice.com