Sunday, September 19, 2021

Millah Abraham berkeliaran sebarkan ajaran sesat di Simunjan

Mesti baca

KUCHING: Polis Sarawak hari ini mengesahkan bahawa mereka berjaya mengesan kewujudan kelompok ajaran sesat Millah Abraham di Simunjan, Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Seri Mohd Sabtu Osman berkata, kumpulan ini dikenal pasti telah membeli sebidang tanah di kawasan tersebut bagi dijadikan pusat kegiatan mereka.

” Kita masih memantau rapi aktiviti mereka ini dan akan mengambil tindakan lanjut jika keadaan semakin serius,” katanya yang ditemui media selepas menghadiri Hari Polis Ke-209 Peringkat Kontijen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak di Jalan Badruddin, dekat sini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Aziz Yusuf dan Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai.

Pada awal Mac lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Bukit Aman, Datuk Awaludin Jadid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa kumpulan Millah Abraham ini sedang memberi tumpuan untuk mengembangkan pengaruhnya di kawasan-kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Sarawak dikatakan dipilih sebagai lokasi kerana bentuk geografinya yang luas dan tersembunyi.

Kumpulan Millah Abraham diisytihar sebagai “ajaran sesat” pada tahun 2009 kerana didapati menyeleweng daripada akidah Islam dan dipercayai mempunyai ramai pengikut di Selangor dan Pahang.

Dianggarkan pengikut ajaran ini berjumlah kira-kira 5,000 orang di seluruh negara dengan mensasarkan dakwah mereka kepada golongan muda yang kurang mendapat didikan Islam

Berkaitan pilihan raya negeri, Sabtu berkata pihaknya telah bersedia untuk melaksanakan tugas keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses demokrasi itu berlangsung.

” Segala latihan dan simulasi telah kita laksanakan dan orang kita telah bersedia di semua lokasi Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Sabtu berkata, untuk tujuan tersebut, pihaknya telah mendapatkan bantuan keanggotaan dari Sabah. – Sarawakvoice.com

millah abraham

Secara Rawak

Artikel Terbaru