Saturday, May 21, 2022

Empat parti berteka-teki tentang kerusi, dan berdepan keadaan tegang

Secara Rawak

KUCHING: Empat parti terbabit dalam pertikaian kini berdepan keadaan tegang dan penuh teka-teki berkaitan jumlah kerusi yang bakal diserahkan kepada mereka untuk pilihan raya negeri.

Bagi penganalisis politik, jumlah kerusi yang bakal diberi membawa banyak implikasi kepada empat buah parti terbabit.

Pertama, dari segi pengiktirafan Ketua Menteri terhadap kekuatan parti berkenaan.
Kedua, implikasinya terhadap masa depan dan kedudukan politik mereka.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) secara tradisi mempunyai 19 kerusi, tetapi kini berdepan masalah tuntutan kerusi oleh parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP) pimpinan Wong Soon Koh.

Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), yang bertanding di lapan kerusi, tetapi tewas di dua kerusi pada 2011, juga berdepan tuntutan kerusi daripada parti serpihan, Teras, yang diterajui William Mawan Ikom.

Masing-masing berusaha untuk meyakinkan Tan Sri Adenan sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri, bahawa mereka berhak dan mampu menang kerusi yang menjadi perbalahan itu.

SUPP dan SPDP berkeras tidak menganggap UPP dan Teras sebagai parti komponen BN, sedangkan kedua-dua parti terbabit menyifatkan mereka mesra BN dengan sebahagian pemimpinnya berada dalam kabinet negeri sehingga mencetuskan keadaan politik yang aneh.

Berkaitan jumlah kerusi bakal ditandingi Teras, William Mawan yang meninggalkan SNAP untuk menubuhkan Teras pada 2014, dalam satu majlis di Kuching semalam, enggan memberitahu jumlah kerusi bakal ditandingi.

Selain Mawan, ADUN SPDP yang melompat bersama-sama Mawan ke Teras ialah Peter Nansian (Tasik Biru), Sylvester Entri (Marudi), Paulus Gumbang (Batu Danau), dan Rosey Yunus (Bekenu). Ketua Menteri telah mengumumkan di Miri minggu ini, Rosey bakal mewakili BN di kerusi terbabit, dan ini tidak diterima positif kalangan penyokong dan pemimpin akar umbi SPDP.

Sememangnya, isu agihan kerusi dianggap satu isu besar dihadapi BN dan Adenan, dan jika ditangani dengan salah, boleh menjerumuskan parti komponen ke dalam kancah konflik dan pertelagahan yang lebih parah, sesudah pilihan raya nanti.

Perbalahan paling seru berlaku di kerusi Marudi apabila Ketua Menteri mengumumkan beberapa bulan lalu, bahawa Sylvester Entri, penyandang yang menang atas tiket SPDP, tetapi kini duduk di atas kerusi Teras, bakal menjadi calon.

Sebaliknya, SPDP berkeras, dengan mengemukakan calonnya sendiri, Datu Dr Penguang Manggil yang bergerak agresif di akar umbi sejak beberapa minggu lalu. Di peringkat akar umbi, difahamkan, sentimen memihak kepada mantan pegawai tinggi kerajaan itu.

Namun, Mawan berharap agar semua calon terbabit ditampilkan dalam pilihan raya ke-11 nanti, yang dijangka diadakan pada 7 Mei. Namun, Ketua Menteri telah mengumumkan tarikh pilihan raya adalah pada 30 April, dan penamaan calon pada 18 April.

Mawan mengakui, Teras mampu bertanding di lima kerusi. Meskipun isu jumlah kerusi dianggapnya bukan isu, Mawan sedar bahawa, isu ini boleh menentukan sama ada Teras hidup atau mati dalam pilihan raya nanti.

“Jumlah kerusi, tidak menentukan kami menjadi Ketua Menteri, jadi mengapa kita harus berkelahi? Jadi jangan berkelahi, kami adalah dalam pasukan yang sama” katanya kepada media semalam. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru