PETRAJAYA: Kalau sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad telah duduk di atas pentas politik yang sama dengan Lim Kit Siang ketika menandatangani Deklarasi Rakyat  untuk menumbangkan kepemimpinan Perdana Menteri, hari ini beliau menyatakan kesediaan bersua muka dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun, kata mantan Perdana Menteri itu, kesediaannya untuk bertemu  ketua pembangkang itu adalah bagi membincangkan tentang cara untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dari kerusinya di Putrajaya.

Ditanya sama ada beliau bersedia  bertemu dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim,  yang kini meringkuk di dalam Penjara Sungai Buloh kerana didapati bersalah oleh mahkamah bersabit kes liwat kedua, Mahathir hanya berkata: “Itu kita tengoklah.”

Tentang kemungkinan mengadakan perjumpaan dengan Wan Azizah, Dr Mahathir menjawab: “Belum ada. Kalau dia nak, boleh. Saya terbuka. Tujuan saya satu,  jatuhkan Najib.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini.

“Hari ini perjuangan kita terhad kepada satu sahaja untuk menjatuhkan Najib. Untuk jatuhkan Najib, dengan sesiapa pun saya bekerjasama termasuk Lim Kit Siang,” tambahnya.