Tuesday, June 28, 2022

Dari demokrasi ke anarki: Provokasi, ugutan, dan tipu helah dalam politik

Secara Rawak

Semenjak tercetusnya Perang Dingin, laungan demokrasi telah dicanang dengan hebatnya ke seantero dunia. Sehingga ke hari ini, majoriti negara di dunia mengguna pakai sistem tersebut bagi memastikan kelancaran pentadbiran sesebuah institusi pemerintahan agar pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksana tanpa sebarang masalah.

Ideologi yang terjana daripada cendekiawan pada zaman kegemilangan Greece ini merupakan gabungan perkataan demos dan kratos  yang membawa maksud ‘kuasa rakyat’ telah disifatkan sebagai sistem politik yang terunggul dalam dunia kontemporari ini khususnya oleh sarjana-sarjana barat.

Jika ditanya kepada rakyat kebanyakan tentang kefahaman mereka mengenai demokrasi, pasti yang terpancar di fikiran mereka hanyalah pilihan raya dan ‘wakil rakyat’. Sebenarnya, demokrasi adalah lebih daripada itu. Bukan sahaja dalam konteks pemilihan pemimpin, tetapi juga mengenai skop yang luas terutamanya soal kebajikan dan hak-hak rakyat sawajargat yang harus diambil kira.

MTE5NDg0MDU1MDEwMjQ4MjA3Adakah demokrasi benar-benar mengembalikan kebajikan dan hak-hak kepada rakyat? Bekas Presiden Amerika Syarikat, Thomas Jefferson menyifatkan bahawa, “demokrasi merupakan hukum rimba, di mana 51 peratus daripada rakyat merampas hak 49 peratus rakyat yang lain.”

Ternyata masih terdapat suatu keretakan dalam pelaksanaan sistem politik yang dianggap ‘terunggul’ zaman kini. Hal ini terbukti dengan lebih jelas lagi apabila masih terdapat negara-negara di blok dunia ketiga yang masih dilihat gagal dalam pelaksanaan sistem yang berusia ribuan tahun kewujudannya. Demokrasi telah bertukar menjadi anarki. Rakyat menggunakan kesempatan menjadikan pentas jalanan untuk berdemonstrasi dan merusuh.

Demokrasi yang dianggap sebagai penyelesaian telah menjadi penyebab utama masalah dalam sesebuah negara. Hasilnya, negara bertukar menjadi porak-peranda dan kurang aman yang akhirnya menghancurkan negara tersebut.

Memang tidak asing pada masa kini apabila kebanyakan negara yang bercerminkan demokrasi terpapar sebagai negara yang termiskin, mundur dan bermasalah seperti Zimbabwe, Somalia, Afghanistan dan sebagainya.

Walhal negara yang mengamalkan sistem feudal dan komunis yang dianggap sebagai kuno dan kurang berkesan seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan China mampu menjadi antara negara terkaya dan memiliki ekonomi yang hebat sekali di dunia.

Dengan perbandingan sebegitu, sudah pasti kita tertanya-tanya kenapa terjadinya perkara sebegini dalam kalangan negara yang bertunjangkan demokrasi. Walhal,  mereka telah melaksanakan suatu  sistem yang terbaik dan dilihat berkesan sejak berdekad-dekad lamanya.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad apabila diwawancara dalam satu program Hard Talk oleh BBC menyifatkan  bahawa negara yang memiliki sistem politik yang sehebat mana sekalipun, jika memiliki pemimpin yang bobrok dan rakus, pasti akan gagal mengurus negara dengan baik.

Beliau turut dengan sinis mengingatkan yang “terdapat negara demokratik yang menjatuhkan bom Atom sehingga meragut ribuan nyawa”. Pemimpin yang telah berkuasa selama 22 tahun itu turut menempelak kerajaan Britain mengenai tindakan mereka memenjarakan sejarawan, David Irving kerana menyuarakan pandangannya mengenai tragedi holocaust.

Tindakan Britain tidak ubah seperti ketam mengajar anak berjalan lurus, sedangkan merekalah protagonis utama sebagai jaguh kebebasan, namun rakyat mereka sendiri tidak bebas bersuara dan menyuarakan pendapat.

Sememangnya, keberkesanan tadbir urus sesebuah negara bukanlah terletak pada sistem politiknya, tetapi  berteras kepada amalan politik pemimpin-pemimpin negara terbabit. Malangnya, kerana tamakkan kuasa, kebanyakan pengamal politik mengambil pendekatan realpolitik bagi meniti tangga dalam merebut kuasa.

Realpolitik merupakan hasil ideologi ahli falsafah politik dari Itali, Nicolo Machiavelli dalam bukunya ‘The Prince’. Fahaman ini menghalalkan apa-apa sahaja cara termasuklah provokasi, ugutan, tipu helah, mahupun perang bagi mencapai matlamat politik.

Hal ini turut menyumbang ke arah kegagalan dalam pelaksanaan demokrasi. Ahli-ahli politik seharusnya menggunakan platform berpolitik dengan sebaik-baiknya. Seyogia juga, pemimpin tidaklah menjadi hamba kepada harta duniawi; sebaliknya haruslah memastikan kebajikan rakyat senantiasa terjaga dan merancakkan pembangunan negara. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru