Sunday, September 25, 2022

Wong Soon Koh enggan keluar UPP, letak jawatan kerajaan untuk bertanding DUN Bawang Assan

Secara Rawak

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang juga Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh hari ini memberi jaminan bahawa beliau tidak akan meletak jawatan sama ada daripada parti, mahupun dalam kerajaan.

Menurutnya, menjadi amanah dan tanggungjawabnya sebagai Presiden untuk mengetuai parti yang baharu ditubuhkan itu.

” Saya tidak boleh mengkhianati sokongan dan keyakinan yang diberikan oleh parti kepada saya,” katanya selepas diasak soalan oleh media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat UPP di Kuching.

Kata Soon Koh, UPP mempunyai 26 cawangan dan 30 ribu ahli dan mereka mahukan kepimpinan beliau selaku ketua.

” Dan tentunya, saya tidak dapat mengecewakan mereka, apatah lagi untuk berhadapan cabaran getir lima tahun lagi.

Berkaitan pemilihan beliau untuk mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan, Soon Koh berkata, ia merupakan kuasa dan pregrogratif Ketua Menteri selaku Pengerusi BN.

Bagaimanapun apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding atas bendera UPP, beliau enggan mengulas, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada budi bicara Tan Sri Adenan.

Pada Jumaat, Pengerusi BN Sarawak,Tan Sri Adenan Satem sewaktu mengadakan perjumpaan tertutup dengan tiga ribu pengundi Bumiputera di Miri memberitahu, mereka yang telah dipilih sebagai “calon langsung BN” kelak perlu melepaskan jawatan daripada parti asal, sejajar dalam perlembagaan dan semangat BN.

Sebelumnya, Adenan mengumumkan di Sibu bahawa dua kerusi iaitu Bawang Assan dan Dudong akan menampilkan calon langsung BN berikutan pergeseran yang berlaku di antara UPP dan Parti Rakyat Bersatu Rakyat (SUPP).

UPP dilancarkan pada 17 Ogos 2014 dan Soon Koh merupakan Presiden pertamanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru