KUALA LUMPUR: Menyedari hakikat bahawa Barisan Nasional (BN) Sarawak lebih memahami kehendak dan keperluan rakyat negeri itu, maka BN pusat menyerahkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk mengendalikan kempen pilihan raya negeri (PRN) ke-11, kata Ketua Penerangan Umno.

Pilihan raya itu dijangka diadakan seawal-awalnya 30 April dan selewat-lewat 14 Mei ini.

Tan Sri Annuar Musa berkata, “Kerajaan Sarawak lebih memahami setiap inci dan detik aspirasi rakyat Sarawak sendiri. Tiada orang lain yang faham lebih baik melainkan rakan-rakan kita daripada sana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan muhibah dengan Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Annuar berkata, BN pusat sentiasa menyokong dan sedia dirujuk sekiranya BN Sarawak memerlukan bantuan bagi menghadapi sebarang kekurangan atau masalah sepanjang PRN itu nanti.

Annuar berkata, Sarawak merupakan satu model yang boleh dibanggakan berdasarkan keadaan negeri itu yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik namun dapat terus maju.

“Apa juga kekurangan di Sarawak ialah tanggungjawab BN pusat untuk membantu dalam semangat BN namun kita tak boleh membawa templet kita guna di Semenanjung untuk Sarawak, mereka sendiri sewajarnya menentukan apa yang baik untuk mereka,” katanya.

“Mereka (BN Sarawak) benar-benar dapat menyentuh hati dan perasaan rakyat Sarawak, mereka kenal pasti sentimen dan keinginan rakyat.

“Mereka dapat rasai denyut nadi akar umbi dengan cara yang betul dan kita (BN pusat) akan bantu dan beri kerjasama yang diperlukan kerana kita menghargai apa yang dicapai di Sarawak ketika ini,” tambahnya.