Calon langsung BN perlu lepaskan jawatan dalam parti asal: Adenan

MIRI: Senario politik di Sarawak masuk ke episod baharu yang lebih menarik apabila Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Adenan Satem mengesahkan semalam bahawa mereka yang dipilih sebagai “calon langsung BN” perlu melepaskan jawatan dalam parti asal mereka.

Bercakap kepada media selepas mengadakan perhimpunan tertutup dengan tiga ribu pengundi Bumiputera di sini, Adenan berkata, tindakan itu adalah selaras dengan perlembagaan BN.

” Secara perlembagaan, betul. Mereka perlu menandatangani ikrar dan hanya mengunakan BN dalam pilihan raya. Kerana Barisan Nasional sendiri adalah sebuah parti.

Katanya, mana-mana calon BN langsung yang menang pada pilihan raya negeri yang akan datang boleh memohon untuk menyertai mana-mana parti komponen di kemudian hari.

Terdahulu, semasa satu majlis di Sibu, Adenan mengumumkan bahawa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak akan bertanding di keseluruhan 21 kerusi tradisinya.

Sebaliknya ada antara kerusi ini akan menampilkan calon langsung BN, sambil mengumumkan kerusi tersebut adalah Bawang Assan dan Dudong.

Menurut sumber, antara kerusi tradisi SUPP lain yang turut menampilkan calon langsung BN adalah kerusi DUN Opar, DUN Mambong, dan DUN Engkilili, memandangkan penyandangnya adalah calon daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP).

DUN Mambong, yang dinamakan semula daripada DUN Bengoh kini diwakili oleh Datuk Dr Jerip Susil yang mencatatkan majoriti sebanyak 3,646 undi pada Pilihan Raya Negeri ke-10 (PRN10).

Beliau menewaskan Willie Mongin (PKR) yang mengutip 4447 undi, Wejok Tomik 1007 undi dan calon SNAP, Richard @ Peter Margaret 928 undi.

DUN Opar pula menyaksikan Ranum Mina memperoleh 3360 undi mengatasi Boniface Willy Tumek (PKR) 1354 undi, Stephen Sugir (SNAP) 674 undi, dan Joseph Jindy Peter Rosen (bebas) 475 undi.

Bagi DUN Engkilili pula, penyandang ialah Dr Jonlhnical Rayong Ngipa yang memperoleh 4928 undi pada PRN10, menewaskan Marudi @ Barudi Mawang (PKR) 1121 undi, Jimmy Simon Maja (bebas) 414 undi dan Semije Janting (SNAP) 393 undi.

Berdasarkan ramalan penganalisis politik, Adenan tidak akan mengambil risiko menukarkan para penyandang ini memandangkan mereka telah berkhidmat dengan cemerlang, kecuali mereka dibelenggu isu yang sukar diselesaikan.

Jika terpilih, berdasarkan kenyataan Adenan, kesemua pemuka UPP ini termasuk Datuk Seri Wong Soon Koh, harus melepaskan pegangan dalam UPP, kecuali Majlis Tertinggi BN mahu membuat keputusan sebaliknya. – Sarawakvoice.com

BACA JUGA:

Wong Soon Koh enggan keluar UPP, letak jawatan kerajaan untuk bertanding DUN Bawang Assa