Tuesday, December 6, 2022

Batu Kawa panas menggelegak: Presiden SUPP Senator  Dr Sim  bakal ditentang Chong Chien Jen

Secara Rawak

KUCHING: Bagi pengundi dan peminat politik,  mereka tertanya-tanya adakah  presiden SUPP akan bertanding dalam pilihan raya nanti? Jika bertanding,  kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana?

Senator Datuk Dr Sim Kui Hian   tewas di Pending dalam pilihan raya ke-10, kini terjebak dalam dilema. Dalam pertarungan itu, Sim tewas kepada calon DAP, Violet Yong dengan kekalahan sebanyak 7,595 undi.

Tetapi sebagai penghulu parti, beliau perlu membuat keputusan muktamad. Sekarang tentu bukan masa untuk beliau memikirkan untuk bertanding atau tidak. Atau masih lagi mahu mencongak kerusi mana yang selamat? Masa tidak menyebelahi beliau.

Beliau tidak boleh teragak-agak lagi. Memilih jalan selamat bukan pilihan.

Berdasarkan risikan dan jejakan SarawakVoice,  beliau sebenarnya telah pun menentukan kerusi yang menentukan masa depan politiknya.

supp batu kawa 2

Minggu lalu, Sim bersama-sama pasukannya dikatakan bergerak di kawasan Batu Kawa, menemui para pengundi, dengan  berjalan kaki. Segala pergerakannya dirakamkan melalui video. Mungkinkah beliau menggunakan strategi itu dalam kempennya nanti, termasuk di pentas ceramah, atau dimuat naik melalui Youtube?

Strategi kempen, pemasaran politik, dan komunikasi politik digunakan beliau dalam pilihan raya 2011, antara yang paling kreatif.  Slogan pakar sakit jantung  yang bergengsi dan bertaraf dunia itu ialah ‘Real Heart, Real Action, Real Change’, jelas menggunakan teknik triad atau tricolon dalam strategi retorik.

Setidak-tidaknya beberapa perkembangan, peristiwa dan bukti, anak mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada dekad 80-an ini, besar kemungkinan akan bertarung di Batu Kawa.

Meskipun demikian, terdapat angin spekulasi yang bertiup kencang bahawa Sim akan bertanding di Batu Kitang, sebuah kerusi baharu susulan proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hakikatnya, kerusi baharu itu akan menjadi milik SUPP.

Batu Kawa tumbang kepada DAP dalam pilihan raya lalu apabila calonnya Christina Chiew meraih 7,439 undi, menewaskan calon SUPP-BN,Tan Joo Phoi yang mendapat 6,896 . Sebanyak 70.7 peratus daripada 20,664 pengundi turun mengundi.

Jika pada pilihan raya lalu, SUPP bertanding di 19 kerusi, kali ini, dengan pertambahan dua kerusi, ia memilih untuk mencuba nasib di 21 kerusi. Tetapi sebahagian kerusi terbabit, kini dituntut oleh parti serpihan Parti  Rakyat Bersatu (UPP). Pertembungan antara SUPP dengan UPP bakal mencetuskan tindakan sabotaj-mensabotaj, dan inilah yang cuba dielak oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

SUPP DR SIMHari Sabtu, 20 Mac 2016, pengerusi SUPP itu bakal mengadakan satu majlis “Dialog Mesra Bersama Dr. Sim” dengan tema ‘Kembalikan Sinar Batu Kawa’ dan ‘Untuk satu penghidupan lebih baik di Batu Kawa dan Sarawak’.

Parti tertua  Sarawak itu, membayangkan perjuangannya melalui slogan “Undi BN Sarawak Untuk Autonomi” . Parti itu menyedari, bermain dengan sentimen Sarawak akan menguntungkannya dari segi kuasa politik, apatah lagi Adenan Satem sering berkata, berikan mandat kepada beliau untuk berdiri menuntut kuasa autonomi daripada Putrajaya.

Agenda beliau adalah untuk mempelbagaikan peluang  kerjaya dan pembangunan demi anak-anak Batu Kawa. Melalui pemberitahuan yang diedarkan, dan diteliti SarawakVoice, didapati bahawa majlis itu adalah terbuka kepada ramai. Katanya: “Semoga peluang ini dapat digunakan untuk mencorakkan masa depan bersama.”

Difahamkan Sim telah pun bergerak aktif di Batu Kawa sejak awal bulan ini, membayangkan komitmennya untuk bertanding di situ. Namun, yang pasti, pengerusi DAP Negeri, Chong Chien Jen, pasti akan mengekori beliau. Matlamat Chong adalah untuk membunuh masa depan politik Sim agar dia kempunan duduk di dalam DUN Sarawak.

Menyedari bahawa DAP hanya menang dengan majoriti  543 sahaja, SUPP telah bekerja kuat sejak awal untuk memastikan pengundi dan penduduk di kawasan itu kembali ke pangkuan mereka. Majoriti tersebut ialah majoriti ketiga terkecil selepas Senadin. SUPP menang hanya dengan majoriti 58 undi di Senadin, manakala di Dudong DAP menang dengan 317 undi.

Menurut penduduk di Batu Kawa yang ditemui, DAP tidak lakukan apa-apa sejak menang kerusi itu lima tahun lalu.

“Tidak ada sebarang tanda kehadiran dan kesungguhan DAP di kawasan ini. Mungkin ramai yang tak kenal wajah wakil rakyat itu, kecuali mereka yang membaca akhbar,” kata Lim Ah Tiong, pengundi di kerusi berkenaan.

Sebaliknya, wakil SUPP sentiasa ada di mana-mana walaupun mereka tewas.  Pemimpin  SUPP, misalnya menghadiri pelbagai acara dan majlis termasuk tilawah al-Quran dan perayaan Hari Raya,  dan  Gawai Dayak. Ia membantu penduduk yang ditimpa bencana dan dalam kesempitan.

supp batu kawa

Baru-baru ini, parti itu mendermakan 10 buah pendingin hawa  untuk Dewan Batu Kawa.

Kesungguhan BN turut terbukti daripada usaha mereka sejak tewas di situ. Pada tahun lalu, BN berusaha untuk mendapatkan kerjasama para pemimpin pendapat di kawasan terbabit, dalam usaha untuk meningkatkan jumlah pengundi. Kini, misalnya terdapat sekitar 2,900 pengundi di Rancangan Perumahan Rakyat Batu Kawa. Kawasan sedemikianlah menjadi sasaran jentera akar umbi BN.

BN berharap pengundi yang dibantu untuk mendaftar itu akhirnya akan memberi undi kepada mereka dalam pilihan raya negeri yang dijangka 7 Mei ini.

Difahamkan satu sesi terbuka diadakan, menghimpunkan para penduduk di situ, dengan jumlah mereka yang hadir sekitar 50 orang pada awal November lalu. Pihak penganjur  memberi peluang kepada penduduk untuk mengemukakan pandangan dan masalah dihadapi.

Pada pilihan raya lalu,  pengundi di beberapa kawasan seperti Rantau Panjang, Desa Wira dan golongan muda antara lain, dikatakan memihak kepada DAP.

BN berjanji untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan yang pesat berkembang itu, termasuk jenayah pecah rumah, banjir kilat, sistem perparitan yang kurang berkesan, kekurangan kepelbagaian peluang kerjaya, ketiadaan lampu jalan,

Mengapa BN?  Menurut kenyataan pemimpin BN, Batu Kawa perlu dirampas balik daripada DAP, bagi membolehkannya ‘bergerak atas kepastian dan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.’

Persoalannya, jika Sim bertanding di kerusi ini, mampukah beliau menumbangkan Chong Chien Jen. Ini bakal menyaksikan pertembungan dua pemimpin parti Cina.  Atau akan berlaku pisang berbuah dua kali untuk Sim?

Sebab, pengerusi DAP negeri itu akan memastikan kerjaya politik pengerusi SUPP itu berakhir di Batu Kawa. Atau Chong akan menjadi hero tragik, terbunuh di peti undi oleh pengundi Cina, yang dikatakan kini memihak kepada BN? Inilah antara kerusi yang dijangka bakal menggelegak. – SARAWAKVOICE.COM

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru