KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sekurang-kurangnya 100  kapal dan bot China bersama-sama kapal pengawal pantai negara terbabit dikesan menceroboh kawasan perairan Miri, justeru memberi peringatan, sesiapa yang masuk ke kawasan Malaysia akan dikenakan tindakan, termasuk melangkaui zon ekonomi eksklusif.

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pencerobohan di kawasan Beting Patinggi Ali itu, dikesan ketika pesawat bombardier Agensi Penguatkuasaan Maratim Malaysia (APMM), melakukan pemantauan udara, semalam.

Beliau berkata, tiga aset sudah dikerah ke kawasan terbabit, dengan dua sudah dikerah dan dijangka tiba malam ini.

Sementara itu, Menteri Luar menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menganggap kawasan Beting Patinggi Ali sebagai kawasan pertikaian atau kawasan di wujud tuntutan bertindih antara Malaysia dengan mana-mana negara.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara yang boleh menjejaskan keutuhan wilayah dan kepentingan negara,” katanya.

Negara Asean yang terbabit dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan dengan China ialah Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam.

Beberapa bulan lalu, kapal pengawal laut China difahamkan telah menceroboh kawasan di sekitar beting berkenaan yang terletak 84 batu nautika dari Miri.

 

beting patinggi ali 4

Dalam pada itu, Malaysia, menurut Datuk Seri Anifah Aman, percaya proses rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa merupakan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu tuntutan pertindihan di Laut China Selatan ini.

Tindakan membawa pertikaian  ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ialah pilihan terakhir bagi negara ini jika proses rundingan antara negara terlibat, menemui kebuntuan.

Beliau berkata, Malaysia berkeyakinan proses rundingan beberapa negara Asean dengan China mengenai tuntutan di wilayah lautan itu ialah kaedah yang terbaik.

“Merujuk isu ini kepada pihak ketiga seperti ICJ dan Tribunal Arbitrari hanya akan merupakan pilihan terakhir,” katanya, hari ini.

Anifah berkata, Asean yang terlibat dengan tuntutan bertindih itu, tidak mengiktiraf tuntutan China, berdasarkan nine-dash line kerana ia tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLSO).

Datuk Seri Anifah Aman berkata demikian pada persidangan Dewan Rakyat di sini ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abd Rahim Bakri (BN-Kudat).

Bakri ingin tahu sama ada Malaysia mempunyai rancangan untuk merujuk perkara itu kepada ICJ.    “Pendirian Malaysia berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten.

“Semua tuntutan dan penyelesaiannya hendaklah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982,” katanya.

Bating Patinggi Ali 2