Monday, August 8, 2022

Battle of The North saksikan pertempuran DAP-SUPP di Senadin, Pujut dan Piasau

Secara Rawak

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Senadin, Datuk Lee Kim Shin harus bekerja luar biasa kuat bagi mempertahankan kemenangan setelah hampir pasti dicalon semula sebagai calon BN di kerusi tersebut.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan Negeri merupakan Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pada pilihan raya negeri yang lepas, kerusi ini mencetuskan kontroversi, kerana di sebalik tsunami politik yang mengaramkan banyak tokoh parti itu, Kim Shin muncul calon tunggal di utara Sarawak yang terselamat dan menang dengan majoriti tipis 58 undi.

Kim Shin mengutip 7,334 undi menewaskan Dr Michael Teo Yu Keng daripada Parti Keadilan Rakyat  (PKR) yang berjaya memperoleh 7,276 undi.

Kemenangan tipis ini kemudian menimbulkan ketidakpuasan hati penyokong PKR, yang mendakwa berlaku manipulasi undi.

Kim Shin bagaimanapun perlu berterima kasih kepada undi Bumiputera, yang menyelamatkan botnya dari karam. Dan beliau yang fasih berbahasa Melayu menyedari akan hakikat itu.

Oleh itu apabila Pengerusi BN Negeri Tan Sr Adenan Satem mengembalikan kerusi tiga serangkai itu — Piasau, Pujut dan Senadin — kepada SUPP, seperti yang dibayangkan dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya PBB Zon Miri semalam, mereka perlu menerimanya dengan azam baharu. Tugas berat menanti kerana lawan yang menanti adalah lawan yang sangat kuat.

Meski melaungkan keyakinan untuk merampas kembali Piasau dari genggaman Alan Ling, penyandang DAP yang menjadi “giant killer” pada PRN lalu selepas menumbangkan Presiden SUPP, Tan Sri George Chan Hong Nam, tugas yang bakal dibuhul Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting bukanlah sesuatu yang mudah.

Pertempuran kedua-duanya bakal dikenali ” Battle of The North” kerana menampilkan dua Setiausaha Agung parti Cina terbesar di negeri ini.

SUPP juga bakal berhadapan laluan berliku di DUN Pujut. Namun ia harus bijak mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku kerana penyandang, Fong Pau Teck tidak lagi bernaung di bawah DAP.

DAP dijangka meletakkan calon muda bagi menyingkirkan Pau Teck yang kini bergerak di atas landasan sentimen S4S atau Sarawak For Sarawakian.

Pada PRN10, Alan Ling memperoleh 5,598 undi untuk membenam George Chan yang mengutip 4,408 undi di kerusi Piasau manakala kerusi Pujut menyaksikan Andy Chia Chu Fatt terkulai di tangan Pau Teck dengan perbezaan 3,849 undi.

Mampukah anak-anak buah Datuk Profesor Dr Sim Kui Hian ini melakukan kejutan? Banyak pemerhati politik menyifatkan ia laluan yang sukar kerana ia bukan sekadar pertembungan antara dua parti dominasi Cina, malah perang antara generasi.

Untuk rekod, pada bulan lalu, Alan Ling yang mengetuai jentera DAP di Utara Sarawak melaungkan keyakinan bahawa mereka akan menyapu bersih kerusi majoriti Cina di situ. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru