Sunday, September 25, 2022

SUPP bertegas mahu DUN Mambong, paparkan Ahkim Sarok di papan iklan di lokasi strategik

Secara Rawak

SERIAN:   Di tengah-tengah perebutan untuk mewakili kerusi baharu Mambong antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP), calon pilihan SUPP, Ahkim Sarok dilihat selangkah di hadapan apabila  papan iklan menampilkan potret beliau dengan menggunakan logo Barisan  Nasional dan SUPP  mula kelihatan  di beberapa tempat  strategik di kawasan terbabit.

Ahkim Sarok
Ahkim Sarok

Para penduduk yang melalui beberapa kampung seperti Abang, Kampung Kekas, Kampung Pangkalan Ampat, dan beberapa kampung berdekatan terkejut dengan kehadiran papan iklan tersebut, seolah-olah kempen sudah bermula.

Pilihan raya negeri Sarawak dijangka diadakan  pada 7 Mei dan hari penamaan calon 24 April meskipun Ketua Menteri  Tan Sri Adenan Satem mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 30 April, dan penamaan calon 18 April.

Papan iklan itu merupakan satu daripada strategi komunikasi politik dan kempen bagi memperkenalkan Ahkim sebagai calon SUPP dalam pilihan raya negeri akan datang.

Iklan itu dengan  slogan ‘What’s is Ours is Ours, Safeguard Sarawak’ dengan catatan N 19 Mambong Kawasan SUPP, yang kepunyaan kita tetap milik kita”.  

ahkim sarok 5

Slogan itu sedikit sebanyak mencerminkan slogan dan tema kempen SUPP dalam tempoh kempen nanti, iaitu memperjuangkan hak Sarawak, selari dengan perjuangan menuntut autonomi oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Tema sedemikian dianggap mampu menambat sentimen dan hati pengundi ketika rakyat Sarawak mahu hak autonomi dikembalikan kepada negeri ini, sesuai inti pati  dalam Perjanjian 18 Perkara, Perjanjian Malaysia, dan Suruhanjaya Cobbold.

Kata-kata tersebut membayangkan bagaimana parti tertua Sarawak itu memang ingin mendaftarkan keazaman mereka untuk diberi kerusi itu, dan bukannya kepada UPP yang mereka anggap sebagai bukan parti komponen BN.

Wajah Cr Ahkim Sarok, dengan kata-kata “Bakal Calon BN-SUPP N 19 Mambong”, tertera bersama-sama lambang dacing dan lambang SUPP,  memberi gambaran komitmen  SUPP untuk memastikan kawasan majoriti Bidayuh itu diserahkan kepadanya.

Akhir tahun lalu, Presiden SUPP, Senator Datuk Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan, tidak akan melepaskan kerusi Mambong dan Serembu.  Dua kerusi berkenaan, hasil pecahan daripada kawasan DUN Bengoh, merupakan kerusi baharu, susulan proses persempadanan semula oleh SPR.

DUN MAMBONG_0000

“Walaupun dipecah, kedua-dua kerusi ini tetap milik SUPP,” katanya seperti dipetik media.

Jelas Sim, ia masih kawasan sama (Bengoh) dan SUPP akan menuntut kerusi itu tidak kira ia di bandar atau luar bandar.

Ketika itu, Dr. Sim berkata  prestasi calon  berpotensi SUPP sedang dinilai, bagi memastikan hanya  calon terbaik dan  mereka yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat ditampilkan.

Beliau mahu  wakil rakyat yang benar-benar mempunyai  komitmen penuh,

Sementara itu, tindakan pihak SUPP memasang iklan terbabit sudah tentu tidak disenangi UPP, kerana SUPP dianggap mendahului  pengumuman Ketua Menteri yang mempunyai prerogatif atau hak untuk menentukan siapa bakal mewakili BN di kerusi itu.

Tidak pula dapat dipastikan siapa yang memasang papan iklan berkenaan, sama ada dengan restu SUPP atau Ahkim sendiri.

Ahkim, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Tetapi, bagi pemerhati, ini merupakan tindakan pre-emptif oleh pasukan Ahkim, dengan bertindak agresif, membayangkan kemungkinan yang bakal berlaku di kerusi itu pada hari-hari mendatang, dan menjelang hari penamaan calon nanti.

Ahkim, seorang usahawan dan  akauntan bertauliah, memiliki ijazah MBA dari Ohio University,  pernah bertugas  di SEDC.

Kerusi  Mambong  kini menjadi rebutan dijangka  berdepan pertandingan empat penjuru dalam pilihan raya negeri akan datang.

Dr Jerip Susil
Dr Jerip Susil

Calon yang dijangka bertanding ialah Datuk Dr Jerip Susil mewakili  Parti Rakyat Bersatu (UPP), Willie Mongin (PKR), Sanjan Daik (DAP), dan Cr Ahkim Sarok dari parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Meskipun terdapat empat calon, pertandingan sebenar dijangka berlaku antara Jerip dengan Willie, memandangkan Jerip merupakan penyandang yang menang atas tiket SUPP pada 2011.  

Tetapi terdapat beberapa isu membabitkan Jerip.

Willie pula telah bertanding untuk kali ketiga di Mambong iaitu pada 2011 atas tiket PKR tetapi tewas kepada Jerip sebagai penyandang. Pada PRU-13, dia kalah kepada Datuk Seri James Dawos Mamit. Ahkim dan Sanyan merupakan muka baharu.

Ketika ini, terdapat perebutan untuk mendapatkan kerusi itu, sama ada perlu diserahkan kepada SUPP atau UPP.

Mambong sebenarnya ialah kerusi baharu susulan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lalu. Kerusi itu asalnya ialah sebahagian daripada DUN Bengoh yang  secara tradisinya dipegang oleh SUPP.

Berdasarkan  sentimen akar umbi  yang dikesan oleh SarawakVoice dalam kalangan pengundi, didapati kerusi  itu seharusnya diserahkan kepada SUPP, kerana ia memang hak parti tertua Sarawak itu.

Kerusi Mambong mempunyai sekitar 16,000 pengundi dengan 70 peratus pengundi Bidayuh.

Jerip telah bertanding di kawasan Bengoh pada 1996, menentang calon SUPP, tetapi tewas kepada mendiang William Tanyoh ak Nub. Pada 1998 sekali lagi dia bertanding untuk kerusi Parlimen P198 Mambong, tetapi kalah kepada calon langsung BN Dawos Mamit.

Namun, pada 2001 Jerip dipilih oleh SUPP untuk bertanding pada pilihan raya negeri. Beliau turut bertanding pada 2006 dan 2011 dan menang kedua-duanya atas tiket SUPP.

Apabila menang pada 2011, dia dilantik menjadi Menteri Muda Kesihatan Awam.

Sentimen akar umbi dikatakan mendapati program beliau tidak begitu mendapat sambutan daripada penduduk kampung termasuk program jelajah dari kampung ke kampung.

Di kampung beliau sendiri, Kampung Karu, dikatakan hanya 30 peratus penduduk atau pengundi sahaja yang hadir. UPP hanya mempunyai sekitar 500 ahli berbanding SUPP yang mempunyai lebih kurang 3,000 ahli, sekali gus mewajarkan kerusi itu diserahkan kepada SUPP, kata penduduk terbabit.

Menurut Dawos Mamit dalam kenyataan dalam media baru-baru ini, kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada SUPP atau PBB kerana kedua-dua parti terbabit mempunyai ahli yang ramai, dan ini membolehkan BN menang.

Satu daripada masalah Jerip mengikut pengundi ialah beliau sering melompat parti, mula-mula dari sebagai calon Bebas, kemudian STAR, sebelum menyertai SUPP, dan akhirnya menyertai pasukan Wong Soon Koh dalam UPP.

Tindakan ini bagi pengundi dianggap menggambarkan seolah-olah tidak mempunyai prinsip perjuangan asas, dan ini dikatakan boleh menjejaskan peluang beliau menang kerusi itu nanti. “Dia seolah-olah hanya pentingkan diri sahaja, bukan kepentingan parti dan pengundi di kawasan terbabit,” kata pengundi.

Pengundi Cina yang merupakan 30 peratus daripada keseluruhan pengundi dikatakan tidak akan memberi sokongan padu kepada beliau atas alasan sering melompat parti dan sebahagian janji tidak dikotakan.

Malah, daripada jejakan SarawakVoice, pengundi Cina tidak akan mengundi calon lain jika Ahkim tidak dicalonkan  mewakili SUPP-BN.

Pengundi Cina meskipun  minoriti,  dianggap tetap memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan mana-mana pihak, terutama jika berlaku pertembungan antara SUPP dan UPP.

Willie pula sering turun padang, dan menambat hati pengundi khususnya golongan muda melalui programnya.

Mengambil kira semua faktor, pengundi berpendapat bahawa kerusi itu wajar diberi kepada SUPP dan calon yang paling sesuai dan mampu menang ialah Cr Ahkim Sarok.

Ahkim dikatakan seorang yang disenangi rakyat, mempunyai kelayakan yang tidak diragui, dan sebagai pengerusi SUPP cawangan Mambong melayakkan beliau mewakili kawasan itu.

Beliau juga difahamkan mempunyai perancangan strategik untuk mengubah wajah kawasan Mambong yang dapat menguntungkan rakyat.  

Selepas 15 tahun, Jerip dikatakan  tidak berjaya membawa banyak pembangunan di kawasan itu. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru